PN perjuang peruntukan sama rata Adun Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Kesamarataan peruntukan untuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Pahang akan tetap diperjuangkan oleh PERIKATAN NASIONAL (PN) walaupun Adun pembangkang dikatakan akan turut mendapat peruntukan kerajaan negeri.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau secara kebetulan pada waktu rehat sidang Dun hari ini, bertemu Menteri Besar.

- Advertisement -

Katanya, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan telah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri untuk menyediakan peruntukan kepada semua Adun dan ini bermakna, Adun pembangkang pun akan diberikan peruntukan.

“Namun kita pun tahu, mungkin dalam Bajet akan datang. Cuma yang jelas, jumlah peruntukan itu tidak sama, tidak seperti hasrat pemangku Raja Pahang (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) supaya peruntukan sama rata diberikan.

“Namun saya difahamkan peruntukan itu tidak sama rata, tetapi ada peruntukan yang diberikan kepada Adun pembangkang,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke -15 di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Adun Cheka berkata, keperluan kesamarataan kerana peruntukan itu bukan untuk Adun, tetapi untuk rakyat melalui wakil rakyat yang dipilih melalui sistem demokrasi.

“Apa pun kita melihat jumlah peruntukan yang diberi dan memperjuangkan kesamarataan dalam sistem demokrasi,” katanya.

Sementara itu, katanya PN akan mengadakan bengkel khas mengenai bajet negeri Pahang yang dijangka dibentangkan dalam sidang Dun akhir tahun ini.

Beliau berkata, bengkel itu membolehkan PN Pahang melihat beberapa perkara yang perlu dibangkitkan dalam perbahasan dan memastikan cadangan yang dikemukakan oleh Adun PN mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Kita akan adakan bengkel sebelum sidang Dun akan datang. Kita akan jemput pakar yang boleh bagi maklumat kepada Adun kita di Pahang untuk lebih detail tentang perancangan, peruntukan kewangan, perbelanjaan dan sebagainya.

“Ini bertujuan supaya kita semua ambil bahagian dalam perbahasan. Saya rasa semua Adun kita akan ambil bahagian,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/9/2023