Seksyen 13 Shah Alam kembali dilanda banjir

Sebuah kereta kelihatan hampir ditenggelami air banjir yang mengalir sedikit deras di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor pada petang hari ini, 16 Ogos 2023. (FOTO: Facebook Love Kuala Selangor)
- Advertisement -

PETALING JAYA: Hujan lebat yang berlarutan sejak sejak kira-kira jam 3 petang tadi menyebabkan kawasan Seksyen 13 di Shah Alam dinaiki air menyebabkan banjir kilat.

Menerusi perkongsian video dan foto di media sosial Facebook dan X (dulu dikenali sebagai Twitter), beberapa jalan raya di kawasan terbabit ditenggalami air sehingga paras lutut menenggelami kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan, dan air banjir kelihatan sedikit deras hampir memasuki premis perniagaan termasuk beberapa restoran dan kafe di kawasan sekitar.

- Advertisement -

Laporan awal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kejadian berlaku sekitar pukul 3.40 hingga 4.37 petang melibatkan jalan-jalan raya sekitar Persiaran Sukan, laluan Bulatan Stadium menghala ke Accapella, persimpangan lampu isyarat di Jalan Surau Munwawwarah, persimpangan Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, Jalan MSU lama dan Pangsapuri Perdana.

Sementara itu, laman web Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan setakat pukul 4.50 petang tadi, Sungai Damansara di Batu Tiga, Shah Alam dilaporkan melebihi paras amaran, merekodkan bacaan 5.35 meter (m) berbanding bacaan normal, 2.7m.

Kejadian banjir terbaharu di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor pada hari ini, 6 Ogos 2023 mengimbau kembali tragedi banjir dahsyat yang melanda lokasi ini dan banyak lagi kawasan di Selangor pada hujung 2021. (FOTO: Facebook Lover Kuala Selangor)

Pada hujung 2021, Seksyen 13, Shah Alam antara lokasi yang turut dilanda banjir yang telah melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, selain Hulu Langat dan Taman Sri Muda yang meyaksikan Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi, seramai 25 mangsa melibatkan 17 lelaki dan lapan perempuan.

Sementara pada Jun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan penduduk Taman Sri Muda meneruskan saman terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan syarikat milik kerajaan, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. yang menuntut ganti rugi RM3.8 juta atas dakwaan menyebabkan penduduk mengalami kerugian jutaan ringgit akibat banjir dahsyat berkenaan. – HARAKAHDAILY 16/8/2023

- Advertisement -