Aset bernilai S$1 bilion dirampas di Singapura

- Advertisement -

SINGAPURA: Kira-kira S$1 bilion (RM3.4 bilion) aset, termasuk hartanah, kenderaan, barangan mewah dan jongkong emas, dirampas atau dibekukan dalam antara siasatan polis terbesar Singapura terhadap kesalahan pengubahan wang haram dan pemalsuan.

Seramai 10 orang yang berumur antara 31 dan 44 tahun, didakwa di mahkamah, malam tadi berhubung siasatan itu.

- Advertisement -

Mereka yang terbabit dikenal pasti sebagai warga Cyprus, Turkiye, China, Kemboja dan Ni-Vanuatu. Mereka yang bukan warga China didapati memiliki pasport asing yang dipercayai dikeluarkan oleh China dan negara lain.

Seramai 12 orang lagi membantu siasatan, manakala lapan lagi dikehendaki oleh polis.

“Mereka dipercayai mempunyai kaitan sesama mereka. Semua yang terbabit bukan warga Singapura atau penduduk tetap,” kata Pasukan Polis Singapura (SPF).

Sembilan lelaki dan seorang wanita ditahan dalam serbuan serentak di beberapa lokasi di seluruh negara kota ini, termasuk di Banglo Kelas Baik (GCB) dan kondominium.

Menurut polis, beberapa suspek tinggal di GCB kawasan Holland dan Jalan Nassim.

Polis berkata, mereka bertindak hasil maklumat mengenai kemungkinan aktiviti terlarang, termasuk penggunaan dokumen yang disyaki palsu digunakan untuk mengesahkan sumber dana dalam akaun bank Singapura.

Melalui siasatan yang meluas, termasuk analisis laporan transaksi yang mencurigakan, polis mengenal pasti sekumpulan warga asing yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram hasil daripada aktiviti jenayah terancang di luar negara. Aktiviti ini termasuk penipuan dan perjudian dalam talian.

Lebih 400 pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah, Komando Gerakan Khas dan Jabatan Perisikan Polis, melakukan serbuan serentak di beberapa lokasi seluruh Singapura, Selasa lalu.

Larangan perintah pelupusan dikeluarkan terhadap 94 hartanah dan 50 kenderaan, dengan jumlah anggaran nilai lebih S$815 juta (RM2.7 bilion) serta pelbagai perhiasan dan botol minuman keras dan wain.

Pihak berkuasa merampas lebih 35 akaun bank berkaitan dengan jumlah anggaran baki lebih daripada S$110 juta (RM375 juta) untuk siasatan dan untuk mengelakkan kehilangan hasil jenayah yang disyaki.

Turut dirampas wang tunai berjumlah lebih S$23 juta (RM78 juta), lebih 250 beg dan jam tangan mewah, lebih 120 peranti elektronik seperti komputer dan telefon bimbit, lebih 270 barang kemas, dua jongkong emas, serta 11 dokumen dengan maklumat mengenai aset maya.

Antara kereta mewah yang dirampas oleh polis Singapura.

Institusi kewangan waspada

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) berkata institusi kewangan telah memfailkan laporan transaksi yang mencurigakan.

Ini termasuk aliran dana yang mencurigakan, dokumentasi meragukan berkaitan sumber kekayaan atau dana, serta tidak konsisten atau mengelak maklumat yang diberikan kepada institusi kewangan.

“MAS memandang serius kes ini dan telah berhubung dengan institusi kewangan yang dana berpotensi tercemar telah dikenal pasti,” kata pihak berkuasa kewangan itu dalam satu kenyataan media, semalam.

“Penglibatan penyeliaan dengan institusi kewangan ini berterusan. MAS akan mengambil tindakan tegas terhadap institusi kewangan yang didapati telah melanggar syarat ketat MAS mengenai pencegahan pengubahan wang haram, menentang pembiayaan keganasan atau mempunyai kawalan yang tidak mencukupi terhadap risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan .”

MAS berkata, kerjasama rapat akan diteruskan dengan institusi kewangan untuk mengawal penyalahgunaan sistem kewangan Singapura untuk aktiviti haram. – CNA

- Advertisement -