Kapten England, Harry Kane mendedahkan rahsianya menyertai Bayern Munich, iaitu untuk meningkat kemampuannya sebagai pemain, selain menghadapi tekanan mewakili juara Bundesliga.
Kane menandatangani kontrak dengan Bayern pada Sabtu lalu dengan bayaran 100 juta Euro (AS$109.17 juta). Dia berada di Spurs sejak usia 11 tahun, tetapi sepanjang 10 musim Liga Perdana bersama kelab itu, gagal memenangi sebarang piala, sesuatu yang tidak berlaku di kelab Jerman itu.
“Saya datang ke sini untuk memperbaiki diri, untuk merasai tekanan baharu memenangi kejuaraan setiap tahun, perlu pergi jauh dalam Liga Juara-Juara dan mendorong diri saya hingga had itu,” kata Kane kepada Sky Sports, semalam.
“Saya fikir apabila anda berada di kelab seperti Bayern Munich, anda perlu menang dan tidak ada persoalan mengenainya. Jika anda tidak beraksi dengan baik, timbul tanda tanya terhadap anda. Saya telah dapat menanganinya sepanjang karier saya, sama ada bersama Tottenham atau England.”
Pemain berusia 30 tahun itu membuat penampilan sulungnya pada Sabtu lalu, hanya beberapa jam selepas ketibaannya. Selepas masuk sebagai pemain gantian dalam kekalahan 3-0 kelab itu kepada RB Leipzig dalam Piala Super Jerman, dia kini menantikan permulaan musim liga.
“Saya mempunyai pramusim yang sangat baik, banyak latihan, banyak perlawanan dan kini, minggu ini berada dalam keadaan baik. Saya teruja untuk memulakan musim,” kata Kane.
“Mana-mana perlawanan pertama musim liga adalah antara yang paling menarik pada tahun ini, kerana anda sudah bersedia untuk pergi dan tidak sabar-sabar untuk menunjukkan apa yang anda boleh lakukan.”
Bayern memulakan kempen Bundesliga dengan perlawanan di tempat lawan menentang Werder Bremen pada Jumaat. Mereka kini mengejar kejuaraan liga ke-12 berturut-turut. – REUTERS