Sokong wujud perundangan dakwa, pecat Perdana Menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mencadangkan penggubalan undang-undang yang membolehkan Perdana Menteri didakwa dan dipecat atas salah laku.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyifatkan cadangan tersebut sebagai satu pembaharuan atau reformasi yang perlu dikaji dan diambil perhatian oleh pihak-pihak berkenaan.

Menurut beliau, dengan adanya perundangan tersebut ia membawa maksud kepada kehendak supaya Perdana Menteri memiliki integriti kerana dia juga lambang kepada demokrasi dan mewakili eksekutif tertinggi negara.

“Ini juga seboleh mungkin memastikan tiada tindakan yang menjurus penyalahgunaan kuasa apabila menjadi Perdana Menteri. Jangan boleh buat apa saja dan menggunakan kekebalan yang wujud. 

“Jadi ini mendatangkan kemudaratan kepada negara dan dari segi kesucian demokrasi itu sendiri. Maka dengan sebab itu kita mengharapkan cadangkan itu boleh dikaji dan diambil kira satu pandangan yang baik,” sokongnya.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut memuji bekas Menteri Undang-undang tersebut sebagai individu berintegriti tinggi serta komited mewujudkan reformasi demokrasi yang adil dalam negara.

Dr Wan Junaidi memberitahu, negara ketika ini tidak mempunyai undang-undang tersebut ketika ucaptama pada forum ‘Kestabilan Politik dalam Parlimen Tergantung’ di Ibu Negara, minggu lalu.

Beliau menyebut contoh negara yang mempunyai undang-undang berkenaan dan pernah bertindak ke atas Perdana Menteri mereka dengan membenarkan pendakwaan tersebut dan ia harus diperkenal di Malaysia. – HARAKAHDAILY 17/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -