Tuduhan guna dana Projek Khas RM30 juta dijawab

- Advertisement -

PEJABAT Menteri Besar Kelantan mengambil serius berkaitan laporan media mengenai Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada 16 Julai 2023 yang telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan menyalahguna peruntukan projek-projek khas RM30 juta bagi tujuan Pilihan Raya Dewan Negeri Kelantan.

Sebagai rekod, Belanjawan Kelantan 2023 telah dibentang, dibahas dan diluluskan dengan sokongan semua Ahli Dewan Negeri Kelantan dalam Persidangan Kali Ke-3 (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 pada 27 November 2022. Justeru, setiap peruntukan dalam Belanjawan 2023 diluluskan dengan penuh teratur, telus dan berintegriti.

Berkaitan Projek-projek Khas sebanyak RM30 Juta adalah bagi peruntukan Jaminan Bekalan Makanan sebanyak RM10 Juta. RM8 juta bagi projek-projek kecil, RM5 Juta bagi Projek Menangani Banjir Kilat, RM3 juta bagi peruntukan Pinjaman Mikro Kredit dan RM4 juta bagi Projek Air Komuniti di bawah Bekalan Sumber Air dan Bekalan Air Alternatif.

Dengan penjelasan ini, satu laporan polis akan dibuat terhadap individu terbabit untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut. Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah tersebut yang bermotif bagi memburukkan imej YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri menjelang Pilihan Raya Dewan Negeri Kelantan Ke-15.

PEJABAT MENTERI BESAR KELANTAN
28 Zulhijjah 1444 Bersamaan 17 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 17/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -