KOTA BHARU: Sehingga sekarang Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berdepan dengan dua laporan polis berhubung dakwaan fitnah.
Terbaru Zulhazmi Hassan dilapor mendakwa terdapat keraguan besar dana projek khas berjumlah RM30 juta akan disalah guna untuk tujuan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pejabat Menteri Besar memberitahu Belanjawan Kelantan 2023 dibentang, dibahas dan dilulus dengan sokongan semua Adun pada persidangan Kali Ke-3 (Belanjawan) 27 November 2022.
Katanya setiap peruntukan dalam Belanjawan 2023 diluluskan dengan penuh teratur, telus dan berintegriti.
“Berkaitan Projek-Projek Khas sebanyak RM30 juta meliputi peruntukan Jaminan Bekalan Makanan sebanyak RM10 juta.
“Selain itu RM8 juta bagi projek-projek kecil, RM5 juta projek menangani banjir kilat, RM3 juta peruntukan Pinjaman Mikro Kredit dan RM4 juta Projek Air Komuniti di bawah Bekalan Sumber Air dan Bekalan Air Alternatif,” katanya pada kenyataan hari ini.
Jumaat lepas Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah Pemuda Amanah dalam YouTube Podcast baru-baru ini.
Penolong Pengurus KBCSB, Mohd Afzanizan Arif berkata, pihaknya tidak pernah mengagihkan 900 ekor lembu untuk ibadat korban yang disebut bernilai RM3 juta kepada rakyat pada tahun lepas.
Malah kata beliau program agihan korban tajaan kerajaan seperti didakwa tersebut tahun lepas tidak pernah diadakan.
Pejabat Menteri Besar berkata, laporan polis akan dibuat terhadap individu terbabit untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah tersebut yang bermotif memburukkan imej Menteri Besar dan Kerajaan Negeri menjelang PRN ke-15,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/7/2023