‘Kerajaan tiada penyelesaian kukuh masalah ekonomi rakyat’

Sukri Omar ketika berucap dalam Program Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di kawasan parkir Flat Seksyen 18 18/47, Shah Alam pada malam 26 Jun 2023 (FOTO: Facebook PAS Selangor)
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang penyelesaian yang kukuh dalam menyelesaikan masalah ekonomi yang kini membelenggu rakyat di negara ini.

Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor, Ustaz Sukri Omar berkata, rakyat terpaksa berdepan dengan masalah ekonomi yang berlaku seperti kenaikan harga barang, kos keperluan dan seumpamanya.

“Pada masa ini, rakyat hanya menantikan solusi yang kukuh dalam menghadapi masalah-masalah tersebut dan apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang mengenai kos sara hidup yang meningkat, menteri hanya menjawab dengan (membentangkan) data,” katanya.

Sukri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam menegaskan, hakikatnya rakyat yang lebih memahami keadaan sebenar ekonomi semasa yang ternyata berbeza dengan data-data yang dibentangkan oleh menteri tersebut.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di kawasan parkir Flat Seksyen 18 18/47, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali: Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi; dan mantan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, Sukri prihatin dan meluahkan kebimbangan terhadap nasib golongan-golongan muda di Malaysia, khususnya di Selangor yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan pada masa ini.

“Anak-anak muda juga memberontak dan tertanya-tanya apakah nasib mereka dibela atau tidak. Itu tidak termasuk (perkara yang berkait) untuk menyediakan rumah (mampu milik) kepada mereka,” katanya.

Sukri turut memperkatakan tentang prestasi pentadbiran Menteri Besar Selangor terhadap kebajikan rakyat negeri itu pada ketika ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

Dalam pada itu, Sukri turut mengkritik pentadbiran Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri  Amirudin Shari yang menurut beliau, telah melakukan manipulasi yang berbentuk bantuan kepada ramai rakyat Selangor.

Beliau menegaskan bahawa ketika Azmin Ali menjadi Menteri Besar Selangor, pentadbirannya seribu kali lebih baik daripada Menteri Besar sekarang ini, Amirudin Shari.

“Adanya air percuma, skim warga emas, pelbagai skim yang dilakukan oleh Azmin Ali tidak lagi diteruskan ketika zaman pentadbiran Amirudin Shari.

“PN akan memberikan pemerintahan yang terbaik jika menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini dan jentera-jentera PN kini sentiasa bersedia ke tahap maksima bagi menghadapi PRN tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2023

- Advertisement -