43 kes pencerobohan ruang udara dari Jan-Mei 2023

Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan pesawat asing yang dikesan dan direkodkan menceroboh ruang udara negara dari Januari sehingga Mei 2023 ialah 43 kes pencerobohan.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Pertahanan, kategori pencerobohan ruang udara berdaulat hanya berlaku di Region 1 sahaja sebanyak enam kes yang melibatkan dua kes tidak mengikuti laluan seperti yang dimohon dan empat kes tanpa permohonan.

Bagi kategori pencerobohan ruang udara berkepentingan pula, sebanyak 37 kes direkodkan iaitu kes pencerobohan  di  Region  1  dan  34  kes  pencerobohan  di Region 2.

“Selain mengaktifkan pelan operasi khusus oleh TUDM, pihak kementerian turut mengemukakan laporan pencerobohan yang telah dikenal pasti dan cadangan bantahan diplomatik secara berkala kepada Kementerian Luar Negeri untuk tindakan lanjut,” ujar kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai di Dewan Negara, semalam.  

Dominic Lau dalam soalannya meminta Menteri Pertahanan menyatakan jumlah pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat asing bermula Januari 2023 hingga sekarang secara spesifik.

Menurut kementerian itu, bagi pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat asing, mekanisme tindak balas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhadap pencerobohan adalah melalui Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN) di mana pelan operasi khusus seperti Operasi Curiga, Operasi Sierra Watch dan Operasi Jedi Watch akan diaktifkan.

Katanya, pemantauan dilakukan mengikut wilayah iaitu Region 1 (Semenanjung) dan Region 2  (Sabah dan Sarawak) serta  terbahagi kepada 2 kategori ruang udara iaitu Pencerobohan Ruang Udara Berdaulat (within Malaysia Territorial Airspace – MTA) dan Pencerobohan Ruang Udara Berkepentingan (within EEZ until MTA). – HARAKAHDAILY 21/6/2023

- Advertisement -