Kemurungan remaja semakin membimbangkan

Senator Abdul Nasir Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bahawa kemurungan adalah antara faktor utama menyebabkan cubaan bunuh diri atau tingkah laku bunuh diri berlaku di negara ini.

- Advertisement -

Senator Abdul Nasir Idris berkata, perkara yang cukup membimbangkan ialah berdasarkan laporan itu, kemurungan atau tingkah laku bunuh diri semakin meningkat dalam kalangan remaja yang berumur antara 13 tahun hingga 17 tahun.

“Ingin saya menyampaikan satu persoalan kepada Yang Berhormat Menteri, adakah kemungkinan ditentukan percubaan membunuh diri ini..itu…yang mana tidak jenayah, yang mana pula dikatakan jenayah?

“Kita harus berhati-hati kerana ada sudut agama Islam yang terlibat secara langsung. Hal ini, membunuh diri merupakan satu kesalahan besar dalam agama Islam,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Abdul Nasir berkata, perbahasan RUU ini membabitan pemotongan Seksyen 309, iaitu memotong untuk tidak mengenakan, tidak dikenakan tindakan undang-undang kepada mereka yang cuba membunuh diri.

Berdasarkan perkembangan di Asia Tenggara, katanya kebanyakan negara telah lama berbuat demikian seperti Singapura pada tahun 2020.

“Begitu juga di Thailand, tiada sebarang hukuman untuk melakukan cubaan bunuh diri. Vietnam, Kemboja dan Indonesia tiada sebarang hukuman untuk perlakuan cubaan membunuh diri sejak dulu lagi,” katanya..

Namun, beliau membangkitkan persoalan, iaitu jika cubaan membunuh diri sebelum ini adalah suatu kesalahan jenayah, apakah ini bermakna bahawa hukuman atau undang-undang yang ada selama ini gagal untuk dilaksanakan di negara ini.

“Adakah kajian dibuat sama ada ia benar-benar tidak dapat menghalang percubaan bunuh diri di negara kita?” katanya.

Begitu juga, katanya sejauh mana rakyat negara ini faham atau mendapat maklumat bahawa cubaan membunuh diri adalah kesalahan jenayah.

Beliau berkata, sebahagian besar rakyat tidak memahami bahawa undang-undang gagal untuk menurunkan kadar membunuh diri di negara ini. – HARAKAHDAILY 20/6/2023

- Advertisement -