AKMAL komited lahirkan lebih ramai tahfiz ‘fast track’

Majlis Haflah Takrimiyah Graduasi 4.0 pada 5 Jun 2023 menyaksikan 140 pelajar tamat pengajian dengan cemerlang termasuk sembilan daripadanya bergelar Syahadah. (FOTO: Akademi Al-Quran Amalilllah/AKMAL)
- Advertisement -

Selepas lima tahun melebarkan perjuangan dan amanah murni melahirkan Hafiz 30 Juzuk Al-Quran dan Syahadah, Akademi Al-Quran Amalilllah atau AKMAL menambahkan lagi lima cawangan baharu tidak lama lagi.

- Advertisement -

Ia sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan akademi itu sebanyak 10 dan secara tuntasnya memperbanyakkan lagi ruang dan peluang melahirkan ‘fast track’ tahfiz dalam tempoh kurang daripada setahun.

Sehingga kini akademi terbabit yang beribu pejabat di Marang, Terengganu turut memiliki cawangan di Bukit Beruntung, Batu Pahat, Shah Alam dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Pengerusi AKMAL, Senator Hussin Ismail, pihaknya terus berdaya saing dan optimis menerusi penambahan lima lagi cawangan baharu.

Tuan Guru Abdul Hadi hadir merasmikan Majlis Haflah Takrimiyah Graduasi AKMAL 4.0  di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 5 Jun 2023.

“Lima cawangan baharu yang akan dibuka ialah di Seremban (Negeri Sembilan), Sungai Petani (Kedah), Kuala Kangsar (Perak), Kelantan dan Kuantan (Pahang).

“Usaha kita untuk terus melebar dan mengembangkan pengaruh AKMAL takkan pernah berhenti. Semua ini jihad dan harap ia dipermudahkan sentiasa,” katanya.

Hussin berkata demikian ketika berlangsungnya acara Majlis Haflah Takrimiyah Graduasi AKMAL 4.0  di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 5 Jun lalu.

Majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu itu turut dirasmikan oleh Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, yang juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; mantan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan diserikan kehadiran barisan Exco Agama Kerajaan Negeri Terengganu.

Akademi Al-Quran Amalilllah atau AKMAL kini mempunyai 10 cawangan di seluruh negara yang melebarkan ruang dan peluang bagi melahirkan ‘fast track’ tahfiz dalam tempoh kurang daripada setahun.

Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya di Facebook rasmi beliau menyingkap semula ucapan yang diberikan dalam majlis tersebut.

“Dalam ucapan, saya menyebut al-Quran merupakan mukjizat yang diturunkan untuk menjadi petunjuk kepada seluruh manusia,” ujarnya.

Menurut beliau, al-Quran menerangkan semua ilmu yang ada dalam kehidupan manusia sama ada ilmu wahyu atau ilmu dunia.

“Apa yang penting ialah kita mesti memahami bagaimana menjadi al-Quran sebagai petunjuk dalam kehidupan manusia.

Tuan Guru Abdul Hadi di samping Hussin bersempena Majlis Haflah Takrimiyah Graduasi AKMAL 4.0  di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

“Menjadi kewajipan untuk mendalami ilmu selepas daripada kejayaan untuk menghafal Al-Quran dan disambung pengajian ilmu itu dalam pelbagai bidang.

“Pelajar yang menghafal Al-Quran didapati lebih mudah untuk memahami ilmu lain tidak kira dalam mana-mana lapangan. Atas dasar tersebut, kita mesti terus beramal dengan Al-Quran. Barangsiapa yang beramal dengan ilmu yang Tuhan berikan kepadanya, Tuhan tambahkan lagi ilmunya,” kongsi Tuan Guru.

Ustazah Asma bersyukur

Dalam pada itu menurut Hussin, Majlis Haflah Takrimiyah Graduasi 4.0 tersebut telah menyaksikan 140 orang pelajar tamat pengajian dengan cemerlang termasuk sembilan daripadanya bergelar Syahadah.

“Kita turut bangga salah seorang pelajar yang diraikan iaitu Tengku Maisarah yang juga anakanda kepada pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun dan suami, Ustaz Tengku Fadzli.

Pelajar yang menghafal Al-Quran dan boleh dididik dari kecil didapati lebih mudah untuk memahami ilmu lain tidak kira dalam mana-mana lapangan.

“Puteri ketiga beliau menjadi Hafizah Al-Quran dalam tempoh tujuh bulan di AKMAL. Kejayaannya dan semua amat membanggakan kami dan tentunya keluarga mereka,” katanya sambil  turut mempelawa lebih ramai lagi anak muda untuk menyertai AKMAL.

“Mahu anak anda menjadi Hafiz dan Hafizah Al-Quran dalam tempoh setahun? Insya-Allah boleh (di AKMAL). 

“Temuduga pengambilan pelajar baharu kemasukan kini dibuka, boleh daftar segera secara online di Hafizsetahun.com. Untuk Tahfiz online boleh daftar di Tahfizonline.com,” katanya.

Sementara itu, Ustazah Asma turut berkongsi kegembiraan dan kesyukuran di platform laman sosial mengenai kejayaan puterinya di AKMAL yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Ustazah Asma dan suami bersama anak ketiga mereka yang berjaya menjadi Hafizah Al-Quran selepas tujuh bulan menimba ilmu di AKMAL.

“Allahu Akbar, sungguh sebak dan sayu. Saya sendiri baru tahu anakanda kami, Maisarah (Tengku Maisarah) berjuang dalam tempoh 7 bulan 10 hari untuk khatam hafazan 30 Juzuk Al-Quran. 

“Maklumat tersebut saya baca daripada jemputan rasmi acara dianjurkan. Kami memang menyaksikan kesungguhan, nekad dan air mata kelelahan Maisarah.

“Kami tak pernah memaksa atau meminta untuk Maisarah selesaikan hafazan dalam tempoh yang secepat ini. Namun, setiap kali jumpa, Maisarah akan minta  doa dan beritahu bila impian khatam hafazannya.

“Semua dengan izin dan pertolongan Allah SWT jua. Terima kasih semua termasuk para guru dan pihak AKMAL. Juga kalian yang selama ini turut mendoakan, moga kembali pada kalian,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2023

- Advertisement -