Pelajar Sabah, Sarawak berpeluang lanjut pengajian di KIAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) mengadakan promosi bagi memperkenalkan institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri itu kepada pelajar.

- Advertisement -

Pendaftar KIAS, Mohd Khairil Hazmie Yusof berkata, promosi berkenaan turut melibatkan Sabah dan Sarawak bagi memberi peluang pelajar lepasan SPM mendapat peluang meneruskan pengajian di IPT.

Katanya, sehingga kini hampir 50 daripada 93 sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) diberi taklimat bagi membolehkan pelajar tahu program pengajian yang ditawarkan di KIAS.

“Taklimat, motivasi dan hala tuju selepas SPM diadakan di sekolah-sekolah termasuk pada hari pengumuman SPM 8 Jun lalu.

“Semalam diadakan di Maahad Muhammadi Gua Musang dan hari ini di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Syukuriah Bukit Sireh Kuala Krai,” katanya di sini.

Selain kita KIAS turut menyertai ‘Karnival Jom Masuk U’ anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pengambilan pelajar baharu tahun ini diadakan pada sesi Jun dan November 2023. KIAS menawarkan pelbagai program pengajian termasuk pengurusan perniagaan.

Program pengajian Islam antaranya Diploma pengajian islam, Diploma Tahfiz Al Quran, Diploma Taranum Al-Quran, Diploma Dakwah Dengan Media dan pelbagai lagi.

Manakala pelajar lepasan Diploma Syariah, Diploma Usuluddin atau Diploma Bahasa Arab di KIAS layak memasuki tahun tiga di Universiti Al Azhar Mesir.

Mohd Khairil juga berkata, pelajar sekolah aliran lain di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh memohon mengikuti pengajian di KIAS. – HARAKAHDAILY 13/6/2023

- Advertisement -