
KOTA BHARU: Kejatuhan menjunam indek utama Bursa Malaysia (FBM KLCI) dalam tempoh enam bulan terakhir menggambarkan pelabur tidak yakin terhadap kerajaan sekarang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dato’ Mohamed Farid Zawawi berkata, Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tiada arah tuju dalam menguruskan ekonomi negara.
Katanya keadaan lebih parah Menteri Ekonomi Rafizi Ramli seperti hilang punca bagi mengurus ekonomi negara.
Selain itu kata beliau Bank Negara Malaysia mengambil langkah ‘counter intuitive’ dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tanpa menilai asas semasa ekonomi.
“Untuk rekod, indek FBM KLCI berada pada tahap 1501.88 mata pada 24 November tahun lalu, merudum sebanyak 127.24 mata atau 8.47 peratus kepada 1374.64 hari ini,” katanya pada kenyataan di sini.
Mohamed juga berkata, dari sudut nilai anggaran saham tersenarai mengecut sekitar RM145 billion dalam tempoh yang sama.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Kota Bharu bimbang sekiranya indek FBM KLCI terus merudum ke paras 1,350 iaitu tahap terendah dalam tempoh 5 tahun semenjak 2018.
“Inilah sebenarnya menggambarkan keupayaan Kerajaan Malaysia Madani, memiskinkan negara dan rakyat dalam rentak pemerintahan penuh retorik tanpa ‘substance’ atau fundamental.
“Negara perlukan pemimpin berwibawa, bijaksana, berilmu serta pengalaman ekonomi yang luas, dan paling penting seorang pemimpin boleh memacu pertumbuhan ekonomi negara secara kumulatif, mampan dan lestari,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!