Cemerlang SPM: Bangun jam 3 pagi setiap hari

Muhammad Jamaluddin di samping ibunya, Siti Hanum. (FOTO: HARAKAHDAILY/Rizal Tahir)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelajar cemerlang Maahad Tahfiz Sains Tok Guru (MSTG) Muhammad Jamaluddin Hafizi berkongsi rahsia kejayaannya memperoleh 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

- Advertisement -

Menurut anak yatim ini, dia menjadikan amalan membaca surah Al Kahfi, Ar Rahman dan Al Waqiah, selain bangun pada  jam 3 pagi untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran setiap hari, amalan yang dilakukan sejak tingkatan satu lagi.

“Kejayaan memperoleh 12A (SPM 2022) ini merupakan hadiah untuk arwah bapa saya  yang meninggal dunia lima tahun lalu.

“Sejak kematian arwah ayah, saya dibesarkan bersama lima lagi adik-beradik sepenuhnya oleh emak, Siti Hanum Zulkifli.

“Kecekalan emak membesarkan kami enam beradik membuatkan saya tekad untuk terus belajar dan mencapai kejayaan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui di MSTG, semalam. 

MSTG muncul sebagai sekolah terbaik YIK SPM 2022 dengan pencapaian nilai purata Gred Purata Sekolah (GPS) 2.40.

Dalam pada itu, Muhammad Jamaluddin, 18, menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Berkongsi cerita mengenai anaknya itu, Hanum, 47, memberitahu bahawa dia adalah seorang anak yang baik serta menurut kata.

Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat mendidik anak-anak dengan baik walaupun tanpa seorang suami di sisi.

“Allah SWT kurniakan anak-anak yang baik untuk saya dan ia merupakan rezeki untuk saya, alhamdulillah, saya bersyukur Muhammad Jamaluddin mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM 2022,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2023

- Advertisement -