Guardiola antara jurulatih terbaik sepanjang zaman

Guardiola (kiri) bersama Puyol.
- Advertisement -

ISTANBUL: Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola adalah seorang daripada dua atau tiga jurulatih terbaik sepanjang zaman, kata bekas rakan sepasukannya di Barcelona, ​​Carles Puyol.

- Advertisement -

Menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara, esok, Guardiola akan cuba memenangi piala yang menjadi rebutan di Eropah melalui percubaan kali ketiganya.

Puyol bermain bersama Guardiola di Barcelona dan menjadi kapten pasukan Barca yang dikendalikannya beberapa tahun kemudian, memenangi Liga Juara-Juara pada 2008-09 dan 2010-11.

“Saya (bermain) bersama Pep selama dua tahun dan sejujurnya anda sudah dapat melihat kualiti kepimpinan dalam dirinya melalui pelbagai cara,” kata Puyol kepada Laureus Spirit of Sport.

“Cara dia bercakap, komitmennya kepada kelab dan anda boleh melihatnya sebagai jurulatih.

“Bagi saya, jika bukan yang terbaik, dia pasti antara dua atau tiga jurulatih terbaik sepanjang zaman.”

Puyol menghabiskan 15 tahun di Barcelona dan memenangi enam kejuaraan La Liga serta tiga Liga Juara-Juara, berkata Guardiola menjadi pakar taktik walaupun masih bergelar pemain di bawah jurulatih Belanda, Louis van Gaal.

“Walaupun mempunyai jurulatih seperti Van Gaal, yang sangat saya sayangi, kadang-kadang Pep akan menggerakkan kami, sebagai pertahanan. Dia akan menukar kami menjadi tiga di belakang, empat di belakang pada masa-masa tertentu,” kata Puyol.

“Saya ingat dengan jelas satu perlawanan menentang Atletico Madrid, saya terpegun melihat bagaimana dia bermain dan masih membayangkan cara terbaik untuk bertahan.”

Guardiola mengubah Manchester City sebagai kuasa dominan dalam bola sepak Inggeris sejak tiba di sana pada 2016.

Dia memenangi lima daripada enam kejuaraan Liga Perdana terakhir dan pada Sabtu lalu, City merangkul kejuaraan domestik dengan menewaskan Manchester United dalam perlawanan akhir Piala FA – piala ke-11 untuk kelab itu.

Esok, City menentang Inter Milan di Istanbul dengan peluang untuk mengikut jejak Manchester United yang merangkul tiga piala pada 1999.

Puyol berkata, walaupun City seperti pasukan Guardiola di Barcelona, ​​diberkati dengan pilihan menyerang, mereka juga mempunyai disiplin pertahanan yang sama.

“Memiliki pasukan menyerang seperti itu, anda perlu sedar sebagai pemain pertahanan, dia sentiasa sangat hebat dalam hal itu,” kata Puyol.

“Ramai orang benar-benar menumpukan pada cara pasukan Pep bermain, tetapi saya rasa perbezaan sebenarnya terletak kepada cara mereka bertahan, tindak balas mereka apabila kehilangan bola.”

Puyol yang kerjayanya mengharungi hampir 600 perlawanan rasmi, dianggap sebagai antara pertahanan terbaik dalam generasinya, tetapi mengakui bersimpati terhadap pertahanan Inter yang perlu menyekat Erling Haaland yang telah menjaringkan 52 gol.

“Saya fikir dia pemain yang benar-benar lengkap dan akan menentukan era. Dia seorang pemangsa sebenar dalam kotak, saya suka dia, dia sangat besar, sangat sukar untuk mengawalnya dan anda perlu menganalisisnya dengan baik dan bekerja sebagai satu pasukan,” kata Puyol. – REUTERS

- Advertisement -