KAHERAH: Seorang warga Rusia terbunuh dalam serangan jerung berhampiran pantai di pusat peranginan Laut Merah di Hurghada.
Dalam satu kenyataan Kementerian Alam Sekitar Mesir yang disiarkan di laman sosial, seekor jerung harimau bertanggungjawab terhadap kematian seorang pengunjung pantai, tanpa memberikan butiran mangsa.
Mengikut kenyataan itu, satu pasukan dari kementerian itu dan pihak berkuasa lain dapat menangkap jerung itu, selain menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan larangan berenang, snorkeling dan aktiviti sukan air lain di beberapa pantai berhampiran lokasi serangan.
Seorang penyelam yang tiba di tempat kejadian sejurus selepas serangan berkata, orang ramai bergegas membantu mangsa selepas penyelamat dari hotel berhampiran membunyikan penggera.
Agensi berita TASS Rusia pula melaporkan bahawa mangsa ialah seorang lelaki Rusia yang dilahirkan pada 1999 yang tinggal di Mesir sepenuh masa dan bukan pelancong.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di saluran rasmi pada aplikasi pemesejan Telegram, konsulat negara tu menggesa pelancong Rusia supaya berwaspada apabila berada dalam air dan mematuhi dengan tegas sebarang larangan berenang yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan. – REUTERS