Anak jati Selangor untuk MB Selangor

- Advertisement -

KALAU ada anak jati yang kompeten untuk jadi Menteri Besar (MB) Selangor, kenapa kita nak pilih orang luar?Lagipun anak jati Selangor bukan calang-calang dan sebarangan orang.

Bertahun-tahun Selangor menjadi pusat ekonomi utama di Malaysia, ada infrastruktur moden dan berkembang pesat sehingga menjadi tumpuan rakyat negeri lain untuk mencari rezeki, takkan negeri semaju ini masih hendak bergantung kepada orang luar untuk jadi MB dan bangunkannya?

Bukankah anak jati itu lebih memahami keperluan masyarakat setempat? Mereka sendiri merasai masalah yang membelenggu rakyat Selangor sejak kecil hingga dewasa kini. Mereka tahu apa yang perlu diusahakan dan diutamakan.

Mereka juga lebih ada rasa ‘sense of belonging’ kepada rakyat Selangor serta negerinya. Rasa cinta yang menumbuhkan sikap tanggungjawab dan komitmen berpanjangan untuk berjuang membangunkan negeri bertuah ini.

Ucapan daripada Menteri Besar Kedah wajar diberi perhatian.

Sehebat-hebat negeri dengan 6 juta rakyat namun dipimpin oleh Menteri Besar dari negeri lain bukanlah hal yang membanggakan, sedangkan Selangor pernah melahirkan ramai tokoh hebat yang menjadi Menteri Besarnya. Kenapa kita hendak mengambil langkah terkebelakang?

Alangkah baiknya jika Selangor Darul Ehsan ini diterajui oleh anak jati yang lebih faham cita rasa, cara hidup dan keperluan rakyat setempat. 

Masih ada ramai rakyat Selangor yang layak. Dan kini tiba masanya anak-anak Selangor ini diberi peluang untuk berkhidmat kepada tanah kelahirannya. 

Kita tidak nafikan sumbangan cerdik pandai, profesional serta pakar yang datang daripada pelbagai negeri lain dan bermastautin di Selangor ini. Namun, untuk Menteri Besar Selangor apa kata kita beri kepada anak jati Selangor untuk memimpin? Apa kata anda?

ABDUL BASITH ABDUL HALIM
Ketua Penerangan Pemuda PAS
Negeri Selangor
11 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 11/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -