Ekonomi negara: Hutang kerajaan, bisnes, rakyat semua naik

Prof Ahamed Kameel
- Advertisement -

Persidangan Parlimen Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu menyaksikan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli membuat kenyataan bahawa keadaan kewangan ekonomi Malaysia ketika ini jauh lebih baik berbanding ketika di bawah pimpinan kerajaan sebelum ini.

Beliau mendakwa bahawa data-data ekonomi kerajaan membuktikan semua sektor telah pulih kecuali sektor pertanian untuk dijadikan sebagai rekod pencapaian kerajaan terkini, walaupun mengambil hutang yang besar.

Dengan alasan tersebut, beliau memberikan hujah bahawa kerajaan terkini kononnya tidak akan jadi lebih teruk jika dibandingkan era kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN)  di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru persoalannya, benarkah keadaan kewangan ekonomi negara sekarang benar-benar jauh lebih baik daripada sebelum ini?

- Advertisement -

Ikuti wawancara wartawan HarakahDaily, IKMAL EMIR dengan pakar ekonomi Islam bebas,  Prof. Dato’ Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera yang memperkatakan tentang hakikat sebenar keadaan ekonomi negara terkini.

Beliau mempunyai pengalaman amat luas dalam isu ekonomi sejak 1996 iaitu ketika memperoleh Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Kewangan dari University of North Texas, Amerika Syarikat.

Beliau kemudian berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selama 28 tahun dan bersara sebagai Dekan Institut Perbankan Islam di universiti tersebut. Kini, beliau merupakan Dekan Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.

HarakahDailyBerdasarkan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengenai kewangan negara yang dikatakan tidak akan teruk seperti kerajaan sebelum ini, adakah ia benar atau berbeza dengan realiti?

Prof. Ahamad Kameel: Mengenai kenyataan Rafizi itu, bila kita lihat situasi kewangan negara dari tahun demi tahun, hutang negara hakikatnya semakin meningkat sebenarnya. Bila kita melihat bajet negara sekarang, hasil negara hanya cukup untuk pembayaran pengurusan sahaja.

Sebagai contoh, kerajaan cuma mempunyai RM2 billion sebagai hasil yang mungkin hanya cukup untuk membuat satu jalan di kampung seperti itu, dan itu sahaja.

Oleh sebab itu, untuk duit pembangunan negara dan membayar hutang lama terpaksa diambil luar daripada bajet sebegitu, iaitu dengan menambah lagi hutang melalui pinjaman baharu. Kesannya hutang negara kita tetap tidak berubah, malah semakin lama semakin bertambah juga; dan sekarang mencecah  RM1.2 trillion seperti dinyatakan dalam bajet negara itu sendiri.

Kalau kita nak bayar balik hutang tersebut katakan sehari RM1 juta, dalam setahun RM365 juta. Jadi, berapa lama tempoh nak habis bayar hutang pokok sahaja? Jawapannya ialah ia akan memakan masa lebih 3,000 tahun baru habis bayar hutang terkini.

Namun, kita lihat bajet kewangan kena bayar balik sebanyak RM46 billion tapi duit hasil negara kita pun hanya cukup untuk membayar pengurusan sahaja, mana nak dapat duit selebihnya untuk membayar balik hutang tersebut?

Jawapannya adalah tetap dengan menambah lagi pinjaman semata-mata untuk bayar balik masalah hutang sedia ada, melainkan syarikat-syarikat jenis syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuklah Petronas menawarkan bantuan kewangan terhadap kerajaan.

Ini jelas membuktikan kalau mahu membiayai pembangunan, kerajaan sekarang juga tidak cukup dengan pendapatan dalaman kerajaan semata-mata, ia kena datang luar daripada bajet kewangan kerajaan itu sendiri.

Masalah yang berlaku pada masa sekarang ini adalah kerajaan menaikkan siling hutang negara sendiri yang bermaksud negara kita akan meminjam lebih banyak lagi wang dan bukannya menerima bantuan daripada syarikat-syarikat GLC. 

Sekalipun syarikat-syarikat GLC membantu pun hanya sedikit sahaja, manakala selebihnya kerajaan ambil pinjaman juga. 

Namun isu utamanya adalah hutang negara semakin bertambah jelas menunjukkan kenyataan Rafizi Ramlee tidak memaparkan realiti sebenar. Namun, tidak dinafikan bahawa kerajaan-kerajaan sebelum ini juga menambah hutang.

Mengapa hutang negara jadi semakin meningkat dari semasa ke semasa? Adakah penggunaan ‘wang fiat’ (wang yang mempunyai nilai hanya kerana peraturan atau undang-undang kerajaan) diikuti ‘wang elektronik’ telah mengikat ramai rakyat dengan hutang?

Ini kerana ekonomi kita memang berasaskan hutang semata-mata (Debt-Based Monetary System) yang menyebabkan hutang isi rumah semakin naik, hutang perniagaan meningkat dan hutang kerajaan pun akan naik. Bukan itu sahaja, malah hutang kebanyakan rakyat biasa juga naik.

Bagaimana kehidupan akan menjadi lebih baik bila kebanyakan golongan mempunyai hutang yang semakin naik? Memandangkan saya mempunyai latar belakang kewangan, saya dapati bahawa struktur kewangan itu sendiri yang mempunyai masalah sebenarnya yang amat patut diketengahkan.

Dan katakan kerajaan dapat membayar semula semua hutang, negara tetap mengekalkan sistem kewangan yang sedia ada tetapi persoalannya bagaimana kerajaan nak bayar semula hutang-hutang tersebut jika hasil kerajaan sendiri pun hanya cukup untuk pengurusan sahaja?

Itu yang setiap tahun kita akan dapati hutang kerajaan akan terus naik dan sekarang telah menjadi RM1.2 trillion; dan ini jelas hutang yang tidak mampu dibayar oleh mana-mana kerajaan sekalipun melainkan dengan perubahan sebahagian daripada struktur kewangan negara kita.

Mengenai penggunaan wang fiat dan wang elektronik mengikat ramai rakyat dengan hutang, ya  itu benar! 

Kedua-dua sistem kewangan ini telah bertanggungjawab mengikat ramai rakyat dengan hutang memandangkan wang fiat diikuti wang elektronik merupakan sistem yang berasaskan hutang.

Sebanyak 95 peratus daripada wang pengedaran dicipta oleh setiap bank perdagangan dalam bentuk hutang. 

Malah, ia  sendiri bermula sebagai hutang dan sebagai contoh, saya pergi pinjam duit bank untuk urusan seperti membuka bisnes atau apa apa sahaja tujuan. 

Melalui kita sendiri meminjam wang tersebut di mana-mana bank, duit baru akan dicipta dan beredar melalui aktiviti ekonomi.

Di situlah permulaan wang tersebut terjadi iaitu berbentuk hutang dan macam itulah Debt-Based Monetary System berfungsi.

Itu sebabnya isi rumah membuat hutang, bisnes berhutang, hutang kerajaan pun naik. Dalam dunia akaun, bila mana-mana pihak berhutang (debtor) mestilah ada pihak yang memberi hutang (creditor) kan? 

Maka,  siapa pihak yang memberi hutang kepada kerajaan dan pihak manakah yang berhutang?

Sudah tentu tidak ada pihak lain selain daripada setiap sistem bank itu sendiri dan mereka mencipta wang atas angin melalui hutang seperti magis.

Tambahan pula, hampir semua bank perdagangan dalam sistem kewangan negara kita merupakan milik swasta dan ini sepatutnya tidak boleh dibenarkan oleh mana-mana kerajaan sekalipun.

Pada pendapat Prof, adakah ramai rakyat sedar akan kesan hutang negara terhadap kehidupan mereka?

Sebenarnya hutang negara memang semua orang boleh rasa. Malah, hakikatnya hampir setiap orang dikawal dengan hutang dan kita sendiri boleh melihat kebanyakan orang bekerja semata-mata untuk bayar hutang rumah, hutang kereta dan seumpama dengannya.

Itu sebabnya bila kebanyakan orang bila dibelenggu dengan hutang, mereka akan jadi seperti boneka (puppet) yang dikawal oleh tuannya (puppet master). 

Itu sebabnya akan ada pihak yang menang (bebas hutang) walau apa pun tetapi akan ada juga pihak yang ‘default’ iaitu orang yang terikat dengan segala hutangnya.

Apakah kesan tindakan kerajaan menjadikan KWSP sebagai jaminan hutang terhadap setiap rakyat?

Kesannya boleh menjadi amat berbahaya kepada setiap rakyat yang mencarum kerana dalam sistem kewangan sekarang, mesti akan ada yang terperangkap dengan hutang-hutangnya. 

Dengan kata lain, tidak dinafikan ada sesetengah rakyat yang berjaya keluar daripada setiap hutang walau apa pun tetapi pada masa sama, ada juga rakyat yang akan muflis kerana sistem sebegini wajib menyebabkan ramai rakyat terikat dengan hutang sehingga kebanyakannya terpaksa diisytihar muflis.

Jadi, bila KWSP dijadikan sebagai jaminan hutang (collateral) dan mana-mana pihak bank mengambil wang KWSP jika hutang tidak dapat dibayar, apa yang akan tinggal untuk rakyat? 

Rakyat juga akan merana dengan ketiadaan wang simpanan, ditambahkan lagi dengan bebanan hutang sedia ada. Jadi, langkah kerajaan sebegini juga tidak wajar.

Saya diberitahu melalui statistik bahawa simpanan KWSP ramai pencarum boleh habis dalam masa lebih kurang 5 tahun sahaja apabila pencarum bersara dan cuba bayangkan selepas 10 tahun, 20 tahun siapa yang akan menanggung beban (ekonomi) sebegitu?

Nak harapkan anak-anak sendiri pun mereka menghadapi masalah wang yang sama iaitu hutang-hutangnya, nak buat perancangan persaraannya lagi. Jadi, takkan nak ambil wang persaraan anak-anak pula bila keadaan sebegitu terjadi?

Jadi, saya menyeru kerajaan jangan jadikan KWSP sebagai jaminan hutang dan sebaiknya membantu rakyat dengan cara yang lain kerana tindakan tersebut benar-benar tidak membantu, mesti akan ada rakyat yang default dengan hutang-hutangnya.

Adakah Prof akan memberi cadangan untuk kerajaan melupuskan segala hutang (Jubilee Debt)?

Ya, sebenarnya ini langkah terbaik dan wajib dilaksanakan oleh kerajaan kerana sistem kewangan sekarang telah menyebabkan segolongan kecil menjadi kaya-raya manakala kebanyakan rakyat akan ‘dimiskinkan’ dengan teruk. 

Apabila perkara sebegini berlaku, ia benar-benar akan menjejaskan kekuatan sebuah negara.

Ibnu Khaldun pernah berkata: “Tanda-tanda kejatuhan sesebuah empayar, lihat pasar-pasarnya di mana kebanyakan aset dan perniagaannya akan dimiliki oleh segolongan yang kecil. Dan perkara itu benar-benar terjadi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga peringkat antarabangsa.”

Ia  semua berpunca daripada sistem kewangan berasaskan hutang. Itu sebabnya ada sebilangan kecil yang amat kaya-raya tetapi kebanyakan rakyat semakin teruk dimiskinkan.

Kesannya, reset kewangan (financial reset) sentiasa berlaku sejak empayar-empayar lama lagi walau apa pun akibat daripada sistem kewangan yang bermasalah, termasuklah sistem terkini.

Hakikatnya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai tanah yang subur sehinggakan jika apa sahaja biji benih pun, ia boleh tumbuh dengan baik. 

Maka, kenapa kita membincangkan isu sekuriti makanan sedangkan negara kita bukannya kekurangan makanan? Jadi, isu sebenar adalah kerana ramai rakyat tidak mampu membeli makanan.

Hakikatnya semuanya berpunca daripada masalah sistem kewangan kita sendiri dan bukannya kekurangan bekalan makanan dan walaupun tidak dinafikan ada masalah berlaku dalam industri pertanian tetapi masalah-masalah sebegitu termasuklah kos mesin pertanian dan rangkaian bekalannya juga berpunca daripada perkara sama iaitu masalah sistem kewangan negara.

Sebagai solusi, dengan penghapusan hutang sebenarnya dapat menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi yang berlaku dalam negara ini tetapi memerlukan kerajaan yang berani lagi berwibawa (political will) yang turut disertai dengan gesaan setiap rakyat untuk melakukannya.

Apakah cadangan Prof buat kedua dua kerajaan pusat dan kerajaan negeri (termasuk pemerintahan PAS) berhubung isu hutang negara ini?

Nasihat saya untuk setiap parti politik termasuklah PAS, sebaik-baiknya ketepikan perbezaan pendapat dan lihatlah masalah yang dilalui oleh setiap rakyat yang merupakan masalah sebenar yang banyak berpunca daripada sistem kewangan itu sendiri.

Masing-masing perlu bekerjasama dalam menghadapi masalah sebegini kerana selagi sistem kewangan sebegini yang merupakan akar kepada setiap masalah politik dan juga sosial yang terjadi tidak diselesaikan, tidak ada satu pun perkara yang berubah, malah akan jadi amat teruk kepada semua pihak termasuklah mana-mana parti politik yang memerintah sekalipun.

Jadi, saya harap nasihat saya ini sampai kepada setiap rakyat dan juga mana-mana parti politik termasuklah PAS supaya kita sama-sama dapat menyelesaikan masalah-masalah ekonomi yang sedia ada dan saya yakin kita sama-sama dapat melakukannya.  – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -