
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan diminta menyatakan apakah sokongan yang disediakan oleh kerajaan kepada doktor-doktor kontrak yang ingin membuka klinik persendirian setelah tamat tempoh kontrak.
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff mengemukakan soalan itu pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Berikut ialah soalan-soalan daripada wakil PAS, Bersatu dan Gerakan yang disenaraikan pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Datuk John Ambrose minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah penjelasan Kerajaan berhubung Malaysia mengimport 30% keperluan beras negara sedangkan Malaysia mempunyai 10 jelapang padi yang sepatutnya boleh menampung keperluan tersebut dan apakah punca kegagalan kita mencapai hasil yang maksima dalam pengeluaran padi negara.
Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh manakah wujudnya sinergi antara Kementerian dengan institusi agama seperti JAKIM dan Jabatan Mufti-mufti Negeri dalam isu projek rintis pemberian PrEP secara permintaan.
Datuk Bobbey Bin Suan minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah kemajuan yang telah dicapai melalui Program Agropreneur Muda.
Datuk Razali bin Idris minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan kepada ekspatriat di bawah program ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H).
Tuan Sr. Haji Mohd Apandi bin Mohamad minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah status terkini projek pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road.
Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan apakah bantuan yang disediakan oleh Kerajaan untuk membantu golongan warga emas, OKU, ibu tunggal, keluarga tunggal dan pesakit kronik.
Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan Kerajaan untuk tidak mengamalkan diskriminasi peruntukan wakil rakyat selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan iaitu peruntukan Kawasan Sama Rata: HARAPAN bakal menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan itu dan peruntukan dana juga perlu disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta Perdana Menteri menyatakan usaha Kerajaan ke atas gesaan pelbagai pihak yang mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah seliaan Parlimen.
Tuan Balasubramaniam a/l Nachiappan minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan berapakah jumlah pelajar terkini Program Latihan Industri Perpaduan (PLIP) dan sejauh manakah lepasan program ini berjaya mempraktikkan apa yang mereka belajar apabila masuk ke alam pekerjaan yang sebenar.
Datuk Razali bin Idris minta Menteri Kesihatan menyatakan bilakah negara diumumkan keluar sepenuhnya daripada pandemik COVID-19 dan rakyat kembali dengan kehidupan normal.
Datuk John Ambrose minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan apakah inisiatif Kementerian dalam usaha pendigitalan sektor pemborongan dan peruncitan koperasi serta apakah peranan Kementerian dalam usaha membolehkan gerakan koperasi membantu menangani kos sara hidup dan harga barangan keperluan yang semakin meningkat.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan apakah langkah-langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang Kerajaan dalam merealisasikan aspirasi negara neutral karbon menjelang 2050.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah status terkini RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan pelan tindakan termasuk jangka masa Kementerian untuk merealisasikan penubuhan suruhanjaya ini.
Tuan Ak Nan A/L Ehtook minta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang diambil bagi menarik minat pelbagai bangsa untuk berkhidmat sebagai penjawat awam bagi mengimbangi komposisi bangsa dalam perkhidmatan awam dan sejauh manakah tindakan tersebut mencapai sasarannya.
Datuk Bobbey Bin Suan minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah dasar Kerajaan untuk meluluskan pekerja asing dalam pelbagai bidang dan pada masa yang sama, dasar Kerajaan untuk menjaga dan memastikan peluang pekerjaan dan kesejahteraan hidup rakyat tempatan.
Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah sokongan yang disediakan oleh Kerajaan kepada doktor-doktor kontrak yang ingin membuka klinik persendirian setelah tamat tempoh kontrak.
Tuan Ak Nan A/L Ehtook minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan apakah kemajuan terkini tindakan yang diambil untuk menyelesaikan masalah lalu lintas jalan kampung yang sempit di laluan Kg. Kok Seraya-Kg. Terbak, Tumpat, Kelantan. – HARAKAHDAILY 6/4/2023




















