Perhatian serupa perlu diberi kepada Dewan Negara

Suasana hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, semalam.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas sidang Dewan Rakyat berakhir semalam, mesyuarat kabinet kerajaan campuran kembali semula kepada hari Rabu seperti sebelum ini.

- Advertisement -

Sedangkan sidang Dewan Negara masih berlangsung dan dijangka berakhir Selasa minggu hadapan. Peranan Dewan Negara tidak kurang penting dalam sistem demokrasi di negara kita.

Media harian hari ini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media pasca mesyuarat kabinet.

Pada sidang Dewan Negara pagi tadi Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim ketika mencelah ketika sesi soal jawab memberitahu sewajarnya mesyuarat kabinet tidak diadakan pada hari sidang berlangsung.

“Ketika sidang Dewan Rakyat, mesyuarat kabinet diadakan pada hari Jumaat, namun sidang Dewan Negara masih lagi berlangsung sekarang.

“Kerajaan sepatutnya memberi perhatian sama kepada Dewan Negara kerana badan itu sebahagian daripada Parlimen,” katanya.

Pada era kerajaan Pakatan Harapan mesyuarat kabinet diubah ke hari Jumaat bagi menghormati persidangan Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika itu Nga Kor Ming dilapor berkata, perubahan tersebut dibuat selepas kerusi saf kerajaan di Dewan Rakyat didapati kosong kerana menghadiri mesyuarat kabinet.

Malah semalam ahli parlimen Putrajaya Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkongsi suasana hari terakhir di Dewan Rakyat.

“Seperti kebanyakan hari di bulan puasa, hari ini Dewan tidak berhenti rehat. Sedihnya, di blok anggota pentadbiran, hanya Menteri Pengangkutan yang hadir untuk membentang dan menggulung Rang Undang-Undang bagi Kementerian Pengangkutan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/4/2023

- Advertisement -