Saranan perkenal diyat tarik perhatian kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Saranan Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk memperkenalkan diyat, iaitu bayaran pampasan oleh penjenayah kepada keluarga mangsa dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 mendapat perhatian kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, Kanun Acara Jenayah ketika ini memperuntukkan pampasan melalui Seksyen 426, iaitu pampasan diberikan oleh mahkamah dan bukan pihak lain.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan diyat, termasuk implikasi perundangan dan kewangan kepada kerajaan.

“Sekarang ini, peruntukan di bawah Seksyen 426 memperuntukkan pampasan kepada keluarga mangsa.

“Walaupun mahkamah memerintahkan pampasan diberi, isunya pampasan tersebut mesti datang daripada pesalah. Ini isu yang sangat penting untuk dikaji lebih lanjut, jadi mahkamah boleh gunakan kuasa dengan lebih pada masa akan datang,” katanya ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab saranan yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen seperti Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang menyarankan pemberian pampasan kepada waris mangsa.

Ramkarpal berkata, kerajaan turut mengambil kira kepentingan pihak lain, malah sudah berjumpa dengan wakil keluarga mangsa dalam usaha memperkenalkan RUU berkenaan.

Katanya, ini untuk membuat keputusan sewajarnya dan keputusan itu mengambil kira perasaan keluarga mangsa sama ada undang-undang tersebut sama rata dengan kesalahan yang dilakukan. – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -