PAS Selangor tuntut permohonan maaf dari NST

- Advertisement -

PAS Selangor merujuk kepada laporan akhbar New Straits Times bertajuk ‘PAS goes against Selangor Sultan saying Muslims can’t visit churches temples‘ yang dimuatnaik pada 27 Mac 2023 dan menegaskan laporan tersebut adalah suatu fitnah terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Pesuruhjaya PAS Selangor.

PAS Selangor di dalam Kenyataan Media Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi bertarikh 26 Mac 2023 menyatakan PAS Selangor menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Selangor yang menegaskan kembali pernyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan larangan ke atas umat Islam untuk melawat rumah-rumah ibadat bukan-Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara bagi maksud mempelajari kepercayaan lain.  

PAS Selangor di dalam kenyataan media tersebut sama sekali tidak menyebut larangan terhadap orang Islam untuk melawat gereja atau kuil selain bagi maksud mempelajari agama dan kepercayaan lain.  

Oleh itu PAS Selangor menegaskan laporan akhbar New Straits Times tersebut telah dibuat dengan niat tidak baik dengan tujuan untuk memburukkan imej dan nama baik Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.51 Sijangkang dan Ahli Parlimen P.112 Kuala Langat dan dengan tujuan untuk menjejaskan hubungan baik beliau dengan pihak Istana.

PAS Selangor mendesak pihak New Straits Times dengan seberapa segera untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang memfitnah PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor tersebut. 

PAS Selangor tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuntutan tersebut gagal dipatuhi.  

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR 
Setiausaha 
Badan Perhubungan PAS 
Negeri Selangor 
Selasa 
28 Mac 2023/ 6 Ramadan 1444 – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -