Kesalahan-kesalahan ‘Jom Ziarah Gereja’

PENDAHULUAN

Di Malaysia pentafsiran dan pemahaman ‘agama’ tidak boleh dibuat secara umum kerana ia telah diikat dengan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11 (1) – (5) . Ia berbeza dengan amalan di lain- lain negara.

Malaysia mengamalkan kebebasan beragama, di mana setiap orang berhak:

i. Menganuti agamanya.
ii. Mengamalkan agamanya.
iii. Mengembangkan agamanya di kalangan mereka yang hanya bukan-Islam sahaja.

Ini bermaksud orang bukan-Islam tidak boleh  mengembangkan atau mempromosikan agamanya atau apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dengan apa-apa cara di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Bahkan Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa kepada kerajaan negeri-negeri dan Parlimen berkenaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat Akta atau Enakmen bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Rujuk Perkara 11 (4) Perlembagaan.

Islam agama bagi Persekutuan

Jika diamati dengan sehalus-halusnya inilah maksud Perkara 3 Perlembagaan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Kebebasan ini tertakluk kepada setiap orang bebas menganuti dan mengamalkan agama masing-masing tanpa mengganggu orang Islam dengan apa-apa cara diayah atau mempromosi agama mereka yang  boleh membawa kepada memecahkan keamanan.

Melayu dan Islam

Perlembagaan Persekutuan yang telah dibuat oleh beberapa Suruhanjaya sebelum merdeka yang telah diwakili pihak raja-raja, pihak British, pemimpin kaum-kaum telah bersetuju dengan perkara-perkara tersebut dan sangat memelihara kedudukan orang Melayu sehingga orang Melayu tidak boleh dipisahkan dengan Islam.

Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mengenai tafsiran telah mentafsirkan:

‘Orang Melayu’ ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu…

Kesimpulan

Oleh itu dengan kuasa di bawah Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, negeri-negeri telah mengkanunkan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama bukan-Islam bagi negeri-negeri berkenaan.

Antara kesalahan-kesalahan yang diperuntukan dalam enakmen tersebut adalah:

Kesalahan-kesalahan

1. Kesalahan memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang penganut atau anggota dan sebagainya. Suatu agama bukan-Islam.

2. Kesalahan mendedahkan seorang Islam kepada pengaruh-pengaruh suatu agama bukan-Islam.

3. Kesalahan mendekati seorang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai apa-apa perkara berkaitan dengan suatu agama bukan-Islam.

4. Kesalahan menghantar atau menyerahkan terbitan-terbitan mengenai apa-apa agama bukan-Islam kepada seorang Islam.

5. Kesalahan membahagikan apa-apa terbitan atau bahan publisiti mengenai agama bukan-Islam kepada seorang Islam.

6. Kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan-perbahasan tertentu yang bersumber Islam.

Semoga persefahaman masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dapat sama-sama memahami antara satu dengan lain walaupun dari segi akidah kita amat berbeza. Perbezaan tersebutlah menjadikan satu cabaran untuk kita supaya hormat menghormati antara satu sama lain dan menjaga batas-batas yang telah ditentukan oleh Perlembagaan dan perundangan negara dan negeri-negeri.

Salam hormat dari saya,

PROF MADYA DATO’ MUHAMAD ASRI ABDULLAH,
Mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak dan Hakim Rayuan Syariah JKSM. 
Kg Keroh Hulu, Padang Rengas, Perak.

Putrajaya – HARAKAHDAILY 20/3/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0oE1Vbyw3E8hfKg73AaYvZCK3oxRZncBuDDRFsRBx687yioREPRjiMGQwWAdZwKmcl&id=100000295854883&sfnsn=mo&mibextid=6aamW6 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Advertisement