Perbicaraan petisyen keputusan PRU15 Parlimen Marang (9)

- Advertisement -

PRESIDEN PAS hadir menjadi saksi bicara petisyen. Ahad 19 Mac: Catatan perbicaraan Petisyen P.037, Parlimen Marang.

Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, sebagai responden perbicaraan, hadir bagi memberikan keterangan. Beliau mengambil tempat dan melakukan prosedur biasa sebagai saksi. 

Peguam responden, Datuk Takiyuddin Hassan menyoal saksi:

Presiden PAS menjawab tidak mengenali Nordin Abdul Jalil pada awalnya kerana beliau tidak duduk dalam AJK PAS Marang dan tidak mengetahui keseluruhan AJK. Namun setelah ditunjukkan wajah Nordin, beliau kenal. Mengenai isu pembahagian wang, Presiden PAS menyatakan bahawa ia telah berlaku selama bertahun-tahun dahulu dan wang itu diperolehi daripada penyumbang-penyumbang yang memberikan wang mereka kepada parti. Manakala sumbangan oleh Kerajaan Negeri adalah sepanjang masa.

Perbuatan Mohd Nordin itu tidak dipersetujui dan apa yang berlaku tiada dalam pengetahuan beliau. Datuk Takiyuddin bertanya mengenai jawapan saksi kepada pemberita yang bertanyakan mengenai kes petisyen ini dan saksi menjawab ia adalah gerakan saraf kerana mengikut peraturan PRU, calon dan wakil calon, tidak boleh bahagi wang. Bila ditanya daripada manakah gerak saraf itu datang, beliau menjawab dari pihak yang kalah PRU.

Manakala, orang awam jikalau mahu memberikan wang, itu ikut suka dialah, peguam responden membacakan jawapan saksi kepada pemberita dan dipersetujui beliau perbuatan itu bukan satu kesalahan. Mengenai program di Duyung, saksi bersetuju yang beliau tidak tahu, tidak hadir malah tidak pernah diberitahu mengenainya. Antara yang disebut oleh YB Ariffin dalam program itu ialah agenda Penyatuan Ummah, tetapi tiada menyebut ‘undilah Tan Sri Tok Guru Haji Hadi’ dan saksi bersetuju tiada ucapan itu. Maka saksi bersetuju dengan cadangan peguam yang program itu, bukanlah kempen PRU bagi responden.

Tan Sri menjawab tiada apabila ditanya berkenaan ada atau tidak akta atau undang-undang yang menjelaskan Exco atau ADUN tidak boleh berkempen dalam PRU. Klip video dirujuk dan menunjukkan ada logo PAS tetapi tiada ditulis Parti Islam Se-Malaysia, hanya ada tulisan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM). Soalan terakhir peguam ialah meminta pengesahan saksi yang sepanjang tempoh kempen PRU15 lalu, Kerajaan Terengganu masih lagi berfungsi kerana DUN Terengganu masih belum dibubarkan sehingga ke hari ini. Saksi mengesahkannya.

Peguam pempetisyen mula menyoal:

Antara lain soalan beliau berkisar dengan jawapan bertulis Presiden PAS kepada mahkamah. Presiden PAS bersetuju yang program bantuan yang sah dan ia adalah anjuran Kerajaan Negeri dan mendapat bajet kerajaan, melalui kelulusan Pegawai Kewangan Negeri, sewaktu DUN Terengganu belum dibubarkan lagi.

Mahkamah dirujuk kepada laporan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang, senarai AJK PAS Kawasan Marang, video pemberian wang di Surau al-Ridhwan sebagai bahan bukti. Apabila ditanya adakah Mohd Nordin itu adalah menjawat jawatan Ketua as-Sabiqun PAS Kawasan Marang, saksi tidak tahu apa jawatan beliau, tetapi tahu dia sebagai AJK. Dan tidak semua AJK PAS Kawasan akan berkempen hanya di Marang, ada yang berkempen di luar kawasan jawab saksi apabila ditanya adakah bersetuju semua AJK Kawasan Marang berkempen di Marang sahaja.

Semua kerja-kerja kempen diserahkan kepada AJK PAS Marang dan beliau menerima laporan dari wakil calon. Salah seorang yang dinamakan sebagai wakil calon responden ialah Mohd Nasir Ismail dan beliau mengetahuinya, namun lantikan Mohd Nordin Abdul Jalil sebagai Penolong Pengarah V dalam JK Pilihan Raya PAS Kawasan Marang, tiada dalam makluman beliau. Peguam meminta persetujuan saksi yang perbuatan pengagihan wang dalam video itu adalah bertujuan untuk meraih undi bagi responden dalam PRU. Responden tidak bersetuju kerana pembahagian wang berlaku semenjak dahulu lagi. Saksi menegaskan yang beliau tidak tahu berkenaan agihan i-Belia dan dana-dana lain.

Mahkamah dirujuk kepada program agihan dana di Duyung. Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjawab beliau tidak terlibat dengan program itu, jadi soalan berkenaan program itu adalah rasmi dan sepatutnya melibatkan kerajaan sahaja dan tidak boleh berkempen sewaktu program berjalan, beliau tidak tahu. Tuan Guru juga tidak tahu bilakah program itu berjalan. Presiden PAS hanya berada semual di Marang malam sebelum PRU setelah jelajah kempen beliau ke seluruh negara. Segala urusan kempen beliau, diserahkan kepada jentera pilihan raya PAS Kawasan Marang.

Peguam masih di soalan yang sama mahu pengesahan Tuan Guru yang semua parti tidak boleh berkempen dalam program kerajaan. Beliau ditanya lagi mengenai YB Alur Limbat, Ariffin Deraman yang juga seorang Exco, telah berkempen dalam program itu. Beliau menjawab tidak tahu kerana tiada dalam maklumat beliau dan tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk berkempen.

Satu klip video dimainkan bagi soalan seterusnya. Presiden PAS mengesahkan beliau kenal dengan YB Ariffin Deraman. Peguam meminta persetujuan Tan Sri bahawa tindakan YB Ariffin dalam klip itu sebagai berkempen dalam PRU15, beliau tidak bersetuju kerana kenyataan YB Ariffin itu amat umum dan perkara umum berkenaan diri beliau, memang sudah diketahui ramai. Soalan yang sama ditanya berkenaan peraturan berkempen dalam program kerajaan, beliau menjawab ia adalah dasar umum.

Presiden PAS menjawab dalam pengetahuan beliau, program itu berlaku di luar waktu berkempen dan tidak tahu tarikh sebenarnya apabila ditanya program ini adalah satu kempen dari PAS. Peguam menyoal adakah Tan Sri bersetuju jika dalam pengetahuan beliau, YB Ariffin akan berkata begitu? Presiden PAS menjawab, ia adalah soalan andaian dan beliau tidak menjawabnya. Apabila peguam mencuba lagi meminta persetujuan saksi bahawa YB Ariffin telah berkempen dalam program agihan dana I-Belia di Duyung Convention Center, beliau menjawab saya tidak hadir dalam program dan saya tidak tahu.

Seterusnya peguam masih bertanyakan soalan setuju atau tidak yang program sebegitu tidak boleh berkempen politik kepartian oleh seorang ADUN atau Exco, Tuan Guru menjawab, apa yang beliau tahu, program itu telah dirancang lama sebelum PRU dijadualkan. Walaupun begitu, peguam masih berada di soalan yang sama iaitu bertanyakan bahawa walaupun sudah diatur sebelum PRU, ia tetap program rasmi kerajaan dan Tuan Guru bersetuju.

Peguam meminta persetujuan saksi yang apabila program rasmi kerajaan, ia sepatutnya hanya ada gambar dan logo kerajaan sahaja di dalam majlis. Saksi menjawab saya tidak campur urusan program. Saksi diminta merujuk fail rujukan dan ditanya adakah bersetuju jika program kerajaan, tidak boleh ada lambang parti politik, saksi tidak bersetuju. Ditanya adakah dibolehkan gambar pemimpin parti dalam program kerajaan, saksi menjawab ia adalah sebagai pimpinan utama parti yang memerintah.

Bila ditanya berkenaan logo parti PAS yang ada, saksi menjawab ia dibolehkan jika program dilakukan di markas parti dan beliau menjawab tidak tahu di mana program itu diadakan kerana tidak terlibat langsung. Peguam menyoal lagi berkenaan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) adakah kepunyaan parti PAS, Tan Sri menjawab ya dan dahulu ia dibuat kerana PAS tidak mendapat bantuan kerajaan dan PKM ini bukan ditugaskan berpolitik, tetapi lebih bersifat berkebajikan dan PKM diuruskan oleh Wakil Rakyat. Dan walaupun PKM itu di bawah Exco, ia tidak terikat (tetap menjalankan fungsinya sebagaimana dahulu). Pempetisyen tiada lagi soalan.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 20/3/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -