Rakyat tersepit kos kelengkapan sekolah meningkat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menjelang sistem persekolahan yang bakal kembali dibuka pada pertengahan Mac ini, kos kelengkapan barangan persekolahan seperti pakaian sekolah, kasut sekolah, peralatan menulis dan buku-buku sekolah dilihat semakin meningkat disebabkan tekanan harga semasa.

Senator Dewan Negara, Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata pada masa ini peningkatan kos sara hidup, peningkatan harga barangan keperluan selain pendapatan rakyat terjejas akibat wabak Covid-19, telah memberi kesan kepada majoriti rakyat di negara ini.

Beliau turut memberitahu bahawa pada masa ini, tekanan lebih terkesan dirasai oleh majoriti rakyat B40 dan M40. 

- Advertisement -

“Kita amat memahami keluh kesah golongan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah kerana terpaksa berbelanja tinggi untuk sesi persekolahan baharu yang akan bermula tidak lama lagi.

“Situasi ini berlaku terutama kepada ibu bapa yang mempunyai anak ramai, yang  mana mereka mempunyai pendapatan bulanan hanya cukup-cukup makan untuk menyara kehidupan seisi keluarga. 

“Mereka tidak mampu untuk menyediakan peralatan persekolahan anak-anak mereka disebabkan harga barangan persekolahan yang dijual kini sangat mahal,” katanya kepada HarakahDaily

Sehubungan itu, ujar beliau, musibah bencana alam seperti banjir yang melanda beberapa negeri di dalam Malaysia turut menyebabkan sebahagian ibu bapa di negara ini terpaksa menyediakan semula peralatan-peralatan persekolahan yang baharu kepada anak-anak mereka. 

“Hal ini kerana ada dalam kalangan mangsa banjir yang tidak dapat menyelamatkan harta benda mereka kerana musibah banjir ini datang secara serta-merta,” jelasnya.

Namun begitu, Wan Martina turut memberitahu, pada tahun ini juga didapati sesi persekolahan yang baharu akan bertembung dengan sambutan awal Ramadan bagi rakyat di Malaysia yang beragama Islam. 

Secara tidak langsung, kebanyakan ibu bapa di Malaysia pada masa ini terpaksa  membahagikan kewangan mereka untuk menyediakan peralatan sesi persekolahan baharu disamping membuat persiapan untuk menyambut Ramadan, dan seterusnya menyediakan pula kelengkapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. 

Justeru, beliau menegaskan, bagi mengurangi beban yang ditanggung golongan ibu bapa yang yang terpaksa menanggung kos yang tinggi dalam menyediakan peralatan persekolahan anak-anak mereka, pihak kerajaan seharusnya mengambil tindakan segera terutama dalam mengawal harga barangan, peralatan dan pakaian persekolahan.  

“Bagi anak-anak yang baharu memasuki darjah 1 atau tingkatan 1, ibu bapa wajib membeli uniform sekolah yang baharu kepada anak-anak mereka,” katanya.

Oleh itu, beliau turut menggesa pihak kerajaan dapat meringankan beban ibubapa yang kurang berkemampuan supaya diberikan kelonggaran pada  awal sesi pembukaan persekolahan nanti untuk tidak mewajibkan mereka membeli pakaian sukan atau ko-kurikulum.

Pada masa ini, katanya lagi keutamaan adalah kepada pembelian barangan keperluan wajib sekolah seperti buku-buku latihan dan peralatan menulis.

Sehubungan itu, menurut beliau lagi, kerajaan juga perlu menyalurkan lebih banyak  bantuan inisiatif dari segi pakaian dan peralatan sekolah secara percuma kepada rakyat miskin tegar di Malaysia yang terpilih, khususnya bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat  ditetapkan oleh kerajaan seperti buat ibu bapa yang mempunyai bilangan anak yang bersekolah tiga orang atau lebih. 

“Kita tidak mahu ada anak-anak terpinggir dan tertinggal dalam mendapat pendidikan akibat kemiskinan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -