Kerajaan ‘perpaduan’ goyang, salah diri sendiri

- Advertisement -

SEHARI dua ini, jelas dilihat cubaan demi cubaan PH untuk menyebarkan propaganda buruk kepada PAS atau PN dengan menyatakan bahawa PAS atau PN menyusun rancangan untuk meruntuhkan Kerajaan Campuran PH-BN sekarang ini.

Namun sebenarnya, propaganda ini hanyalah berniat untuk menutup hakikat bahawa kerajaan yang ditubuhkan ini tidak kukuh dek terpaksa mengemis sokongan lain kerana ingin menjadi kerajaan dan tidak mempunyai prinsip yang jelas. Jadi, apa yang mereka cuba adakan ialah dengan menghalakan kebobrokan yang mereka buatkan ini kepada pihak lain. Sekiranya kerajaannya runtuh nanti, maka dia boleh menyalahkan PAS atau PN.

Akan tetapi, tuduhan ini merupakan sebuah tuduhan yang dibuat tanpa sebarang pembuktian. Ini terpampang jelas apabila melibat kerajaan Madani ini tidak kukuh dan membilang hari untuk runtuh. Ini kerana kerajaan semasa ini goyang akibat masalah-masalah dalaman yang sedang berlaku. 

Antara bukti kegoyangan yang berlaku dalam kerajaan campuran ini:

1. Pertembungan dalaman antara parti komponen Kerajaan ‘perpaduan’.

Mungkin antara kita sudah lupa, DAP sanggup menjilat balik kenyataan-kenyataannya kepada kerajaan dan rakyat sarawak semata-mata ingin menjadi kerajaan. Pada 23 November 2022, Setiausaha Agung DAP meminta maaf kepada GPS dan rakyat Sarawak atas kenyataan yang menyinggung perasaan.

https://www.malaysianow.com/my/news/2022/11/24/dap-mohon-maaf-kepada-gps-dan-rakyat-sarawak-atas-kenyataan-menyinggung-perasaan

Namun, selepas menjadi kerajaan, sedikit demi sedikit DAP mula menunjukkan tanduknya kepada GPS sehingga menyebabkan GPS merasakan yang permohonan maaf yang pernah dibuat dahulu hanyalah bersifat oportunis sahaja. Ini boleh dilihat daripada kata celupar Ahli Parlimen Stampin semasa perbahasan Bajet 2023 sehingga membangkitkan kemarahan beberapa Ahli Parlimen GPS seperti Ahli Parlimen Serian, Ahli Parlimen Sri aman dan Ahli Parlimen Batang Sadong yang merasakan seakan GPS ini diperlekehkan.

- Advertisement -

https://www.astroawani.com/video-malaysia/mp-stampin-diminta-mohon-maaf-dakwa-gps-gagal-2012604

Selain itu, kita juga boleh lihat pertembungan lain yang berlaku antaranya Ahli Parlimen Kampar daripada DAP telah menyerang Ahli Parlimen Ayer Hitam daripada MCA hanya kerana menegur tindakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkenaan isu telur. Pergaduhan ini sehingga menyebabkan Speaker Dewan perlu masuk campur bagi meleraikan keadaan ini.

https://www.agendadaily.com/isu-semasa/kerana-telur-ayam-mp-dap-serang-mp-bn-yang-kritik-kerajaan-anwar/

2. Organisasi Umno yang masih tidak stabil.

Masalah Umno kelihatan seperti masalah internal sahaja yang hanya melibatkan kepimpinan tertinggi parti tersebut. Namun, secara tidak sedar, dengan bertukarnya kepimpinan tertinggi parti tersebut boleh mengakibatkan ketidakstabilan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri. Berkemungkinan, sekiranya kepimpinan semasa Umno bertukar, Umno akan mengambil pendekatan yang berbeza dengan Presiden Umno sekarang iaitu dengan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri ke-10 (PMX).

Ditambah pula dengan penglibatan Ahli Parlimen – Ahli Parlimen Umno yang secara tidak rela terpaksa memberikan sokongan kepada PMX akibat perjanjian yang telah dibuat oleh calon-calon BN terhadap Presiden Umno untuk bertanding pada PRU15. Akhirnya Presiden mereka telah mengambil keputusan untuk menjadi orang kanan ‘guru’nya.

Inilah menjadi kebimbangan besar PH. Sekiranya dibiarkan sahaja, kerajaan semasa ada kemungkinan akan tumbang disebabkan masalah internal parti tersebut. Masalah terkini Umno, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah mengeluarkan surat yang menyatakan bahawa usul Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalannya tidak sah.

3. Kegusaran Ahli Parlimen PH sebagai backbenchers terhadap kerajaan.

Perkara ini sedikit sebanyak memberikan gambaran jelas bahawa kerajaan semasa bakal kehilangan sokongan Ahli Parlimen mereka sendiri bagi apa-apa usul yang akan mereka bawakan. Antara yang jelas dilihat ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang yang jelas menyatakan ketidaksetujuan beliau terhadap pelantikan bekas Ahli Parlimen Umno sebagai duta ke AS.

https://www.malaysiakini.com/news/654700

Selain itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang dan Ahli Parlimen Muar juga membangkitkan ketidaksetujuan mereka terhadap peruntukan Ahli Parlimen pembangkang yang dilihat seakan memberikan diskriminasi terhadap Ahli Parlimen tertentu. Bahkan, ada daripada mereka yang menzahirkan kekecewaan terhadap PH akibat penggadaian prinsip yang selama ini diperjuangkan.

https://www.agendadaily.com/politik/mp-ph-tegur-lagi-kerajaan-anwar-tak-beri-peruntukan-pembangkang/

4. Belanjawan ‘caca marba’ 2023.

Kerajaan Madani telah mencatatkan Belanjawan terbesar yang pernah direkodkan oleh kerajaan terdahulu apabila telah menetapkan sebanyak RM388.10 bilion akan digunakan. Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 16.3 peratus berbanding daripada kerajaan terdahulu. 

Yang menjadi pertanyaan ramai ialah, daripada manakah kerajaan akan dapatkan dana kewangan untuk menjayakan perbelanjaan sebanyak ini. Tun Dr. Mahathir juga menyatakan kebimbangan beliau apabila melihat bajet sebesar ini. Beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan hari ini akan membuat pinjaman baharu bagi membiayai Belanjawan 2023 yang bernilai 3888.1 bilion dalam masa yang sama negara kita sudah mempunyai pinjaman sebanyak RM1.5 trilion.

Selain itu, banyak aspek di dalam belanjawan ini yang bersifat diskriminasi dan tidak konklusif kepada segenap peringkat masyarakat. Antara yang menjadi isu ialah berkenaan ketiadaan insentif atau peruntukan pembangunan di negeri-negeri pembangkang yang dapat mengubah nasib rakyat setempat. Selain itu, peruntukan kepada Ahli Parlimen – Ahli Parlimen pembangkang terus dinafikan dan masalah yang melibatkan anak muda tidak disentuh dengan baik.

Maka ini mengundang pertanyaan demi pertanyaan dan tidak kurang juga pihak yang memberikan respon negatif seakan belanjawan ini disediakan suku masak sahaja sebelum dibentangkan di Parlimen. 

Konklusi

Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Inilah peribahasa yang paling tepat yang sesuai dengan keadaan kerajaan semasa. Usah menuding jari kepada pihak lain. Perbetulkan dan eratkan kerjasama antara komponen kerajaan sendiri. Ini kerana, PAS atau PN bukan parti komponen Kerajaan Campuran dan sebarang pendirian tidak sokong mereka tidak memberikan apa-apa kesan kepada kerajaan. 

Namun, yang menjadi masalah apabila parti komponen kerajaan seperti BN dan GPS mula melonggarkan diri mereka bersama kerajaan. Berterima kasih kepada 2 pakatan parti ini, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim boleh mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10. Tanpa sokongan parti-parti ini, Kerajaan Campuran akan tumbang dan itulah kesalahan PH sendiri.

DZAFIR FIRDAUS – HARAKAHDAILY 13/3/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02f5ZXCuHw7V32J7L5Zd9M8aUYBBwG9EuvpNwicBcjgeGET6jZTmmihu6C3sqMQesnl&id=1210904862266731&sfnsn=mo&mibextid=6aamW6

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -