Kedah Aerotropolis: Anwar berdolak-dalih?

- Advertisement -

SAYA ingin menyatakan di sini bahawa adalah tidak benar Kerajaan Kedah tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan atau cadangan untuk membangunkan projek Kedah Aerotropolis sebagaimana yang disebut Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke di Dewan Rakyat semalam. 

lni kerana sejak saya mengambil alih kepimpinan Kerajaan Negeri pada Mei 2020, pembentangan dalam mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sudah dibuat pada Ogos dan November 2020.

Kerajaan Negeri juga sudah menerima Lapan Nasihat daripada Kementerian Pengangkutan yang sedang dipenuhi. 

Permohonan rasmi kepada dua Perdana Menteri sebelum ini juga sudah dikemukakan untuk dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Kabinet. Demikian juga kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang bertujuan untuk mendapatkan penelitian Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS). 

Bagaimanapun setakat ini, laporan penelitian UKAS yang di bawah portfolio Menteri di JPM (Ekonomi) masih belum diperolehi. 

Sejak 2015, sebanyak lima kajian kebolehlaksanaan telah dilakukan.

Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan lndustri (MITI) dalam kenyataan kepada media pada 19 Mac 2019 juga telah mengumumkan kelulusan projek berimpak tinggi termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP). 

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Kedah telah memulakan proses pengambilan tanah dengan memasuki Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dan melengkapkan proses kajian kesesuaian tapak pada 2020. 

Pada 2021, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pembangunan Kedah Aerotropolis di mana KXP hanya menjadi salah satu komponen dalam projek itu yang berperanan sebagai ‘enabler’

Permohonan rasmi telah dikemukakan melalui Jawatankuasa Perancang Negeri, Jawatankuasa Kawal Selia MPFN dan Jawatankuasa Kerja MPFN bagi pembentangan dan mendapatkan kelulusan MPFN.

Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan pada Mesyuarat MPFN ke-35 (Bil. 2/2020) pada Ogos 2020.

Sesi libat urus Kerajaan Negeri dengan Kementerian Pengangkutan yang masing-masing diketuai oleh saya sendiri dan YB Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan ketika itu) telah diadakan pada 21 Ogos 2020 di Kementerian Pengangkutan dan berjaya mendapatkan kelulusan bagi pembangunan projek.

Permohonan kemudiannya telah berhasil mendapatkan Kelulusan Dasar dalam Mesyuarat MPFN kali ke-36 (Bil. 3/2020) pada 27 Oktober 2020. Kelulusan itu berserta Lapan Nasihat yang perlu dipatuhi bagi mendapat Kelulusan Akhir.

Kerajaan Negeri telah menerima surat sokongan atau tiada halangan daripada lebih 10 agensi berkaitan yang disenaraikan dalam nasihat MPFN.

Dalam memastikan setiap nasihat MPFN dipatuhi, beberapa sesi libat urus bersama agensi berkaitan telah diadakan termasuk dengan Kementerian Pengangkutan: 

April 2021 
• Bengkel Pembentangan Deraf Awal Pelan lnduk Utama.
• Mendapat ulasan-ulasan awal teknikal daripada Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan. 

29-30 Mac 2022
• Bengkel Pembentangan Pelan lnduk Terkini Kedah Aerotropolis.
• Mendapat ulasan-ulasan awal teknikal daripada Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi berkaitan. 

10 Jun 2022
• Pembentangan Final Deraf Pelan lnduk Utama Kedah Aerotropolis kepada Kementerian Pengangkutan Bahagian Udara, tujuan mendapatkan ulasan awal teknikal.

6 September 2022 
• Pembentangan dan Perbincangan bersama Perunding NASP dilantik oleh Kementerian Pengangkutan. 

18 Januari 2023
• Mengemukakan Deraf Laporan Akhir Pelan lnduk Utama Kedah Aerotropolis kepada Kementerian Pengangkutan Bahagian Udara.

30 Januari 2023 
• Perbincangan lanjutan bersama Kementerian Pengangkutan Bahagian Udara.

Saya sendiri telah menyerahkan Kertas Cadangan Pembangunan Kedah Aerotropolis kepada YAB Perdana Menteri ke-9 pada 23 November 2021. 

YAB Perdana Menteri menyokong penuh cadangan ini atas sebab PFI dan Konsep Pembangunan lapangan terbang yang berteraskan Kargo & MRO (Maintenance, Repair & Overhaul). 

YAB Perdana Menteri meminta agar kertas kerja diangkat melalui YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) bagi tujuan mendapatkan kelulusan Kabinet.

Untuk itu, Kerajaan Negeri menyalurkan maklumat bagi tujuan penyediaan Kertas Kabinet seperti berikut: 

16 Disember 2021 
• Libat Urus bersama UKAS.

22 Disember 2021 
• Libat Urus bersama EPU (Bahagian Pembangunan Wilayah). 

Setakat ini, sudah dua surat permohonan untuk melakukan pembentangan projek di hadapan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dihantar, satu daripada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan satu lagi daripada KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd, anak syarikat Perbadanan Kerajaan Negeri Kedah (PKNK) yang menguruskan projek ini.

Apa yang mendukacitakan, kedua-dua permohonan itu belum dijawab.

KDYMM Sultan Kedah juga telah memaklumkan kepada saya bahawa Baginda sendiri telah menitahkan kepada YAB Perdana Menteri mengenai keperluan untuk projek ini disegerakan ketika sesi menghadap di lstana Kedah di Kuala Lumpur. Bagaimanapun YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa Kerajaan (Persekutuan) tidak ada keupayaan kewangan buat masa ini.

Dengan pemakluman ini, saya membuat kesimpulan bahawa YAB Perdana Menteri tidak mempunyai maklumat yang jelas atau terperinci mengenai projek ini.

Untuk projek ini, segala urusan yang diperlukan sebagaimana yang diputuskan dalam Mesyuarat MPFN telah dilaksanakan. lni termasuk kajian EIA dan DEIA dan pendetailan sedang dilakukan seperti yang dikehendaki dalam maklum balas Jabatan Alam Sekitar. 

Lawatan, MoU, usahasama serta pelbagai langkah telah dilakukan. 

Apa yang belum diperolehi hanya kelulusan bagi perkara yang berada dalam senarai Persekutuan sahaja.

lni membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Kedah amat serius untuk melaksanakan projek ini malah sudahpun membelanjakan kos hampir RM30 juta bagi menyediakan kajian-kajian teknikal dan segala dokumen yang berkaitan.

Kerajaan Negeri melihat jauh ke hadapan bahawa Kedah Aerotropolis sangat berpotensi untuk menjadi katalis pembangunan utama negara malah boleh dianggap ‘economic game changer’ untuk rantau Asia Tenggara dengan kedudukannya yang strategik, keperluan ekonomi masa hadapan dan juga pelan pembangunan industri aeroangkasa komprehensif yang dirangka.

Jawatankuasa Teknikal Kedah Aerotropolis diketuai oleh Tan Sri. Dato’ (Dr). Ir. Jamilus Md, Hussein, mantan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta beberapa lapangan terbang lain di seluruh dunia. Sumbangan dan kepakaran beliau telah diberi pengiktirafan tinggi oleh beberapa pihak di peringkat Antarabangsa hingga digelar ‘The Airport Man’.

Justeru, adalah tidak mungkin dengan satu pasukan teknikal diketuai oleh tokoh berpengalaman luas seperti ini, isu-isu yang berkaitan dengan persekitaran, tataletak dan interaksi projek dengan infrastruktur lain tidak diambil kira.

lni projek besar dengan potensi manfaat yang sangat besar untuk rakyat dan negara, bukan projek yang sewajarnya dipandang sambil lewa. 

Jawatankuasa Kewangan pula diketuai oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri. Pelbagai aspek telah diteliti dan hanya syarikat yang mempunyai keupayaan kewangan dan mampu melaksanakan projek sebesar ini sahaja akan disenaraipendekkan.

Pemaju dan pelabur yang akan atau telah dipilih adalah urusan Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kewangan akan memastikan setiap kriteria dan syarat ketat yang ditetapkan dipatuhi.

Tidak perlu ada keraguan oleh mana-mana pihak terutama Kerajaan Persekutuan kerana ini adalah projek Kerajaan Negeri Kedah melalui pembiayaan swasta (PFI).

Saya percaya jika YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Pengangkutan tahu syarikat yang dipilih, mereka akan teruja dengannya.

Kesungguhan dan ketegasan Kerajaan Negeri serta KXP AirportCity Holdings boleh dibuktikan apabila sebuah syarikat pemaju yang telah dilantik sebelum ini, ditamatkan kontrak pada April 2022 setelah gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Kedah Aerotropolis adalah projek industri penerbangan yang paling komprehensif, memenuhi kehendak industri masa kini dan masa hadapan.

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa segala perancangan projek sudahpun berada dalam rekod Kementerian Pengangkutan malah sebuah Jawatankuasa Teknikal melibatkan pegawai Kerajaan Negeri. KXP AirportCity Holdings dan Kementerian Pengangkutan juga telah ditubuhkan untuk menyelaraskan segala urusan membabitkan kedua-dua pihak. Di peringkat ini, pegawai-pegawai sudah termaklum mengenai rekabentuk dan konsep Kedah Aerotropolis.

Kepada Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, saya sendiri sudah dua kali memaklumkan hasrat mahu mengadakan pembentangan projek ini. Kali pertama saya memberitahu beliau pada 16 Januari 2023 semasa kami bertemu dalam majlis pelancaran LIMA 2023 di Matrade dan kedua, ketika mesyuarat YAB Perdana Menteri dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri di Bangunan Parlimen pada 22 Februari 2023.

Saya akan tulis surat untuk mohon melakukan pembentangan itu sekali lagi.

Kerajaan Negeri Kedah menaruh harapan yang amat tinggi untuk segala isu yang berkaitan projek ini dapat diselesaikan segera demi kepentingan rakyat dan negara.

Kita sudah menunggu terlalu lama untuk projek ini dilaksanakan dan tidak boleh terus menunggu lagi atau kita akan ketinggalan arus kepesatan pembangunan ekonomi negara-negara serantau.

Jika dalam Mesyuarat MPFN pada tahun 2020, Kementerian Pengangkutan menyatakan bahawa semua cadangan projek berkaitan lapangan terbang di seluruh negara termasuk KXP akan bergantung pada kajian National Airports Strategic Plan (NASP) – kajian itu hanya akan siap pada tahun 2023 – sampai sekarang kami belum melihat laporan kajian itu.

Saya ingin bertanya, apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) akan diperbesarkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, adakah beliau merujuk kepada NASP?

Saya dengan ini mengalu-alukan kesediaan YB Menteri Pengangkutan untuk mendengar dan memberi laluan kepada projek Kedah Aerotropolis sebagaimana yang disebut oleh beliau di Dewan Rakyat semalam. 

Sekian. Terima kasih. 

Salam hormat, 

YAB MUHAMMAD SANUSI MD. NOR, SPMK., AMK.
Menteri Besar Kedah Darul Aman
9 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -