Agong seru ketepikan agenda politik sempit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru agar semua pihak mengenepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan. 

- Advertisement -

Agong bertitah, kestabilan lanskap politik menerusi ikatan perpaduan ahli-ahli parlimen perlu dijadikan sebagai manifestasi dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang. 

“Sesungguhnya, perpaduan adalah penyatuan dalam perbezaan. Perpaduan adalah asas pembinaan kestabilan. Perpaduan adalah tiang kemakmuran. 

“Perpaduan menyumbang kepada kemajuan. Perpaduan membawa kejayaan,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, di sini, hari ini. 

Sehubungan itu Al-Sultan Abdullah bertitah, pada 30 Januari 2024 kelak, baginda akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16. 

“Makanya, ini adalah merupakan kali terakhir yang dapat beta berangkat ke istiadat Pembukaan Penggal Parlimen dan bertitah di dalam dewan yang mulia ini.

“Masa berlalu begitu pantas sekali, sepantas awan yang berarak pergi,” titah baginda.

Baginda bertitah bahawa pepatah Melayu lama ada mengingatkan, jika kerbau dipegang pada talinya, manusia pula dipegang pada janjinya. 

Titah Agong, pada 31 Januari 2019 baginda telah melafazkan sumpah untuk sesungguhnya dan sebenarnya, mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagai mana undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. 

Hakikatnya, baginda melaksanakan amanah dan janji yang dituntut sepertimana yang dilafaz dan diikrarkan. 

“Beta tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara apatah lagi untuk mengatur percaturan lanskap politik tanah air,” titah  baginda. – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -