Agong iktiraf prestasi cemerlang PERIKATAN NASIONAL

Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua pencapaian yang dibentangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah merupakan kejayaan cemerlang kerajaan terdahulu yang telah disahkan baginda sendiri.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata prestasi cemerlang yang ditonjolkan kerajaan PERIKATAN NASIONAL mendapat pengiktirafan baginda sebelum diteruskan oleh kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Data-data yang dikatakan oleh Tuanku itu ialah hasil kejayaan-kejayaan kerajaan sebelum ini yang ternyata cemerlang.

“Semua pencapaian yang dibentangkan adalah kejayaan kerajaan terdahulu dan ia bukti nyata sebagaimana yang dinyatakan oleh Tuanku.

“(Kerajaan PH-BN) yang baru-baru ini baru dua bulan, tak ada apa-apa lagi,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas titah Al Sultan Abdullah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini.

Dalam Titah Diraja itu, Al Sultan Abdullah menyebut negara telah mencatat eksport bernilai RM1.552 trilion pada Disember 2022, iaitu peningkatan 25 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2021.

Titah baginda, pencapaian itu telah melepasi sasaran jumlah eksport negara tiga tahun lebih awal daripada yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12, iaitu sebanyak RM1.2 trilion menjelang tahun 2025.

Selain itu, sektor agrikomoditi juga memberi sumbangan yang signifikan kepada KDNK, pendapatan eksport negara dan pembangunan masyarakat luar bandar khususnya mengurangkan jurang pendapatan serta kadar kemiskinan penduduk.

“Bagi tempoh Januari hingga September 2022, sektor ini telah menyumbang sebanyak RM61.3 bilion iaitu 5.5 peratus dari keseluruhan KDNK,” titah baginda lagi. – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -