Politik sempit: PAS sambut baik saranan Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik saranan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang menyeru semua ahli politik supaya mengetepikan agenda politik sempit,

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu telah lama menyeru agar politik ekstrem diketepikan oleh rakyat.

“Politik sempit bertentangan dengan nilai Islam dan tentunya tidak membantu negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Al Sultan Abdullah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini menyeru semua pihak mengenepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan. 

Baginda bertitah, kestabilan lanskap politik menerusi ikatan perpaduan ahli-ahli parlimen perlu dijadikan sebagai manifestasi dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang. 

Tuan Ibrahim juga menambah, PAS akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif yang akan menjadi semak imbang kepada kerajaan persekutuan.

“Kita menyambut baik titah Tuanku dan PERIKATAN NASIONAL akan bertindak sebagai pembangkang yang konstruktif bagi semak imbang kerajaan yang ada,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap keperibadian baginda yang prihatin terhadap isu alam sekitar serta kesan perubahan iklim seperti banjir dan bencana alam.

“Kita harap beberapa gagasan awal yang telah diasaskan sebelum ini dapat diteruskan oleh kepimpinan yang ada,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -