Mengkatalog pemikiran Tok Guru Nik Abdul Aziz

- Advertisement -

HAMPIR 15 tahun dahulu, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berbisik kepada saya di Jalan Raja Laut. Katanya, “Ana mula menulis ketika berada di India, sekitar tahun 1954. Ana menulis dalam majalah Hiboran. Setiap kali tulisan Ana disiarkan, dia akan kirim majalah tu untuk Ana di India. Ana tak guna nama Nik Aziz, tapi guna nama pena.” Itulah permulaan dakwah Tok Guru Nik Aziz lewat tulisan-tulisannya ketika berada di India.

Beliau juga memberitahu saya, buku pertama yang ditulisnya ialah ‘Kenapa Saya Tidak Kristian’ yang ditulis pada 1967, manakala kebanyakan buku yang lain itu adalah transkripsi ucapan-ucapan beliau dalam pelbagai program, sama ada kuliah, tazkirah, ceramah umum, ucapan di Parlimen atau ucapan-ucapan dalam program parti. Pun begitu, terdapat juga tulisan-tulisan Tok Guru dalam bentuk kertas kerja, yang beliau tulis sendiri, antaranya, ‘Pembangunan Rohaniah’ yang dibentang dalam Seminar PAS ’74 di Kuala Terengganu. Beliau turut menulis sebuah kertas kerja mengenai dakwah Nabi Muhammad S.A.W untuk satu program YADIM di Sabah pada 1976, di mana ketika itu beliau adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah YADIM.

Sebelum menjadi wakil rakyat pada 1967, Tok Guru mula menulis dalam majalah Pengasuh. Di antara siri tulisan beliau yang pernah disiarkan oleh Pengasuh ialah ‘Israk dan Mikraj’ (November 1964), ‘Dakwah dan Tabligh’ (Mei 1967), ‘Di Antara Jasa-jasa Rasulullah S.A.W Yang Tidak Dapat Dilupakan‘ (Jun 1967) ‘Setelah Israk Mikraj Berlalu’ (November 1969), ‘Peranan Tasawuf Dalam Membina Negara‘ (Mac 1976) dan lain-lain. Tulisan beliau mengenai jasa-jasa Rasulullah S.A.W pada 1967 telah menerima bantahan daripada dua pupunya, Syed Othman Syed Omar (Dr S Othman Kelantan, Sasterawan Negara) yang membawa kepada polemik di antara kedua-dua tokoh ini melalui Pengasoh ketika itu.

Menjelang PAS dikeluarkan dari BN pada akhir 1977, beberapa ucapan Tok Guru Nik Abdul Aziz mula ditranskrip dan dibukukan. Antara ucapan awal beliau yang ditranskrip ialah ‘Sikap Saya’ (1977) dan ‘Kemuncup Dalam Perjuangan’ (1983) yang berasal dari ucapan-ucapan politiknya, termasuk program dalaman parti ketika krisis kepemimpinan berlaku dalam PAS di antara 1977 hingga 1983. Kemudian, sebagai Ahli Parlimen tunggal PAS antara 1983 hingga 1986, ekoran perpecahan PAS dan penubuhan Hamim, Tok Guru turut membuat beberapa ucapan yang tegas di Dewan Rakyat. Antaranya, ‘Bencana Dari Penyelewengan’ (1984) dan ‘Senjata Sudah di Tangan‘ (1984). Pada 1985, buat pertama kali kuliah dan tazkirah beliau ditranskripkan dan ditandai oleh terbitnya ‘Qiamat dan Alam Mahsyar’ oleh Pustaka Rahmat, Kota Bharu pada tahun tersebut. Sebelum ini, ucapan dan kuliah beliau adalah dalam bentuk kaset.

Setelah menjadi Menteri Besar Kelantan pada 1990, baharulah usaha untuk mentranskripkan ucapan dan kuliah beliau dibuat dengan tersusun. Ia meliputi kuliah tafsir, sirah nabawiyah, tasawuf, perkahwinan, ibadat dan lain-lain. Salinan kaset yang dibuat oleh Pustaka Jihad telah mendapat perhatian besar umat Islam, tetapi disebabkan kuliah-kuliah tersebut disampaikan dalam loghat Kelantan, ia agak sukar difahami. Menyedari keadaan ini, Dewan Muslimat Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Dewan Muslimat PAS telah mula menerbitkan kuliah-kuliah beliau mulai 1994. Antara buku terawal yang diterbitkan ialah ‘Air Mata Mahsyar’ (1994). Selain PAS Kelantan, Lajnah Penerbitan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Jabatan Penerangan PAS Pusat yang mula menerbitkan ucapan-ucapan Tok Guru sejak 1990, sebuah institusi yang turut mengusahakan proses transkripsi dan penerbitan ucapan beliau ialah Maahad Dakwah wal Imamah (kini Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra – KIAS) sejak 1995.

Kini, buku-buku yang merakamkan pemikiran dan hati nurani Tok Guru dalam dakwah, politik dan penghayatan kehidupan beragama berada dalam jumlah yang banyak. Tetapi ia tidak diketahui di mana letaknya buku-buku tersebut dan siapakah yang menyusunkan rekodnya. Tidak dapat dipastikan siapakah yang mengambil tanggungjawab untuk mengkatalogkan secara lengkap karya-karya dan pemikiran tokoh ulamak reformis besar ini. Di Kelantan, ada beberapa institusi yang dikaitkan dengan Tok Guru Nik Aziz, antaranya Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) dan Legasi Tok Guru. Ada juga kedengaran bahawa sebuah galeri Tok Guru akan dibuka di Kota Jembal. Soalnya, adakah mereka menyimpan rekod-rekod ini atau sekurang-kurangnya mempunyai katalog yang lengkap mengenainya?

Tok Guru Nik Abdul Aziz diakui oleh kawan dan lawan, dalam dunia politik dan penyelidikan mengenai pemikiran dan ketokohannya. Dua tesis Phd mengenai pemikiran beliau telah ditulis di universiti. Tetapi jika buku-buku yang merakamkan pemikiran beliau dibiarkan berselerak tanpa perhatian, suatu masa nanti dibimbangi ia akan hilang dan menjadi nadir. Ia adalah kerugian besar kepada umat.

Kepada Kerajaan Kelantan dan PAS, sebagai ‘pemilik’ Tok Guru Nik Abdul Aziz, saya merayu agar tidak membiarkan khazanah ilmu yang besar ini lenyap ditelan zaman. Tok Guru telah meninggalkan warisan, maka kewajipan kitalah untuk memelihara dan mempertahankan.

Saya secara peribadi berusaha untuk merekod, mengkatalog dan mengumpul karya-karya pemikiran beliau, tetapi saya tidaklah mempunyai keupayaan tanpa dukungan pihak yang berautoriti. Saya berdoa kepada Allah agar ia dipermudahkan dan mengharapkan ada kesedaran dan keprihatinan daripada pihak berwajib untuk memulakan tindakan.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -
Di antara karya Tok Guru dalam koleksi saya. Ia perlu dilengkapkan untuk generasi akan datang…
Buku pertama tulisan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang diterbitkan pada 1967 oleh Pustaka Aman Press Buku dalam gambar ini ada cetakan kedua pada 1976 oleh YADIM.
Ucapan Tok Guru Nik Abdul AZiz ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat pada1990.
Ucapan Tok Guru di Parlimen ketika membahaskan isu Pindaan Perlembagaan 1983.
Ucapan Tok Guru ketika membahaskan Kertas Putih Memali dan skandal BMFpada 1986
Buku pertama yang diterbitkan oleh Dewan Muslimat Sdn Bhd pada 1994 daripada kuliah beliau di Masjid Pulau Melaka
- Advertisement -