Umno dulu lain sekarang lain

- Advertisement -

‘DULU lain sekarang lain’ adalah judul salah sebuah lagu popular seniman Allahyarham SM Salim. Ia mengisahkan perubahan hidup seorang teruna setelah berkahwin. Itu lagu buat hiburan, tetapi di pentas politik tanah air pun, hari ini parti Umno juga diibaratkan telah lain. Umno dulu disanjung dan dijulang sebagai parti yang banyak berjasa pada bangsa dan negara. Para pemimpin awalnya berkorban, berjuang dan berjaya menebus kemerdekaan buat tanah air tercinta dari tangan penjajahan British. Pencapaian ini diperakui rakan dan lawan.

Jasa mereka terpahat dalam lipatan sejarah. Luar biasa kepimpinan para Presiden Umno ketika itu iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman, disambung oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan kemudiannya Allahyarham Tun Hussien Onn.

Umno sekarang sudah banyak lainnya. Dahulu Umno gagah menjadi juara dan jurucakap umat Melayu Islam di tanah air. Dalam proses demokrasi berparlimen mereka sentiasa menang majoriti kerusi untuk membentuk dan mengepalai pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri. Ratusan kerusi dimenanginya terakhir dalam PRU ke-11 tahun 2004 apabila BN menang 198 dari 219 kerusi Parlimen. Dari 198 kerusi itu 109 milik Umno.

Itu dulu iaitu tahun 2004, sekarang tahun 2023, segalanya telah menjadi lain buat Umno. Kalau PRU11 tahun 2004 dulu Umno menang 109 kerusi, hari ini setelah 19 tahun berlalu, PRU15 baru-baru ini, Umno cuma tinggal bertaut pada 26 kerusi, merosot 83 kerusi berbanding PRU11!

Dulu Umnolah teraju suara umat Melayu Islam di Parlimen sejak Merdeka, sekarang Umno cuma menang 33 peratus undi Melayu Islam berbanding PAS dan PERIKATAN NASIONAL sebanyak 56 peratus.

Dulu Umno menang dan sapu kerusi Parlimen Melayu di Perlis, Pulau Pinang, sebahagian Perak, sebahagian Kelantan dan Terengganu, Kedah, Pahang, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan. Sekarang Umno cuma berbaki bertapak di Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan 1 kerusi di Wilayah Persekutuan.

Dulu lain, sekarang Umno tiada satu kerusi pun yang menang di Perlis, Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka. Dari sebuah parti Melayu Islam yang terbesar dan paling dominan dalam negara dulu, sekarang Umno cuma di ‘ranking‘ parti ke-4 terbesar di Parlimen iaitu lebih kecil dari DAP dan PKR, dulu lain sekarang lain betul buat Umno.

Pasca PRU14 setelah hilang kuasa di Putrajaya dan cuma menang 54 kerusi berbanding 88 dalam PRU sebelumnya, Umno terpukul tenat. Dan dalam keadaan kelemasan begitu ia telah menghulurkan tangan persahabatan pada PAS, musuh tradisinya, dengan harapan penyatuan serta permuafakatan kedua-dua parti Melayu Islam terbesar dalam negara dapat memulihkan mereka kembali selain menyelamatkan nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara yang terancam di bawah PH yang didominasi DAP.

Muafakat Nasional ditubuhkan untuk memperkukuhkan kembali kuasa politik umat Melayu Islam yang terancam apabila DAP dan wakil-wakil bukan Melayu Islam dalam Kerajaan Pakatan Harapan menjadi blok yang dominan buat pertama kali dalam sejarah.

Berpakat dan berbaiklah Umno dan PAS buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia. Jalinan permuafakatan ini mendapat sambutan luar biasa rakyat khasnya umat Melayu Islam yang rupa-rupanya menunggu-nunggu permuafakatan seumpama ini sekian lama.

Jalinan kerjasama yang mantap kedua parti ini telah melakarkan keuntungan besar apabila Umno melalui permuafakatan ini berjaya dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil bermula di Parlimen Cameron Highlands apabila calon DAP berjaya ditumbangkan. Semuanya dengan kerjasama dan pengorbanan PAS.

Tetapi itupun dulu, bagaikan cinta kilat, rupanya hubungan PAS dan Umno terputus di tengah jalan apabila ianya gagal diuruskan dengan baik. Rupa-rupanya dugaan besar yang menimpa pemimpin tertentu memaksa beliau bertindak liar sehingga curang demi agenda peribadinya bukan lagi agenda ummah.

Bertarunglah semula Umno dan PAS dalam PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini dan yang lebih membuktikan yang Umno hari ini benar-benar telah lain adalah apabila selesai PRU, Presidennya sanggup bersekongkol dan bekerjasama dengan PH yang didominasi DAP, sedangkan semasa MN dahulu DAP ini kita perakui sebagai musuh utama agama dan bangsa.

Dulu lain sekarang lain, dulu Umno membenci dan memusuhi DAP yang dilabel sebagai anti-Melayu dan anti-Islam, tetapi sekarang lantaran mahu menyelamatkan tengkok pemimpinnya Umno atau lebih tepat pimpinan tertingginya telah tergamak mencampakkan prinsip dan berpelukan dengan PH dan DAP. Presiden Umno berjaya dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana membantu PH menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR sebagai Perdana Menteri ke-10. Sama ada Presiden Umno sedar ataupun tidak tindakan beliau meninggalkan MN dan kini menjalin hubungan dengan PH yang didominasi DAP itu sesungguhnya menerima sambutan dingin ahli-ahli akar umbinya, malah ramai yang kecewa dan marah.

Beberapa hari selepas keputusan PRU ke-15 diketahui, dan Kerajaan PH-BN terbentuk, pilihan raya untuk Parlimen Padang Serai Kedah telah diadakan. Jika Presiden Umno mahukan kayu pengukur terhadap langkahnya maka beliau perlu lihat keputusan Pilihan Raya ini. Di Padang Serai setelah Presiden Umno menjadi Timbalan Perdana Menteri, PERIKATAN NASIONAL telah menang besar dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan calon PH yang didukung Umno.

Tapi apakan daya dulu lain, sekarang lain. Jika dulu Presiden Umno banyak bermuafakat dan mendengar suara akar umbi, tetapi sekarang lain dan tidak lagi. Pasca PRU 1969, Almarhum Tunku letak jawatan, pasca PRU 2018 Datuk Seri Najib letak jawatan Presiden Umno, tetapi hari ini walau Umno hilang kuasa di beberapa negeri Melayu, merosot suaranya di Parlimen sehingga hanya tinggal 26 kerusi dengan hanya mewakili 33 peratus undi Melayu Presiden Umno sedikit pun tidak rasa bersalah atau bertanggungjawab.

Terbaru walau lemah dan hampir kecundang, dalam keadaan begitu pun Presiden Umno tergamak memecat dan menggantung beberapa tokoh yang banyak berjasa pada Umno dan umat Melayu. Ini semata-mata kerana mereka bangkit bersuara. Beliau juga gembira apabila Perhimpunan Umno memutuskan tiada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada PAU akan datang.

Dulu lain, sekarang Umno benar-benar lain dan telah berubah sama sekali. Dari perjuangan membela nasib bangsa dan agama, ia menjadi parti yang memperjuangkan nasib peribadi pemimpin tertentu. Rugilah bangsa, rugilah agama. Jangan biarkan kita terus hidup dalam kelainan. Jika Umno benar-benar telah lain, ahli-ahlinya bangkitlah dan buat perubahan. Kembalikan kegemilangan dahulu atau Umno akan terus pupus ditelan zaman.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -