Anwar disaran elak konflik kepentingan dalam perolehan kerajaan

- Advertisement -

PERDANA Menteri merangkap Menteri Kewangan disaran tidak melibatkan konflik kepentingan dalam aspek pengurusan perolehan Kerajaan. Pelantikan Nurul Izzah yang diberikan tanggungjawab sebagai pengurus tender kerajaan bukan sahaja menyebabkan berlakunya konflik kepentingan, bahkan mendorong defisit keyakinan rakyat terhadap kerajaan semasa.

Saya mengharapkan agar kerajaan khususnya Perdana Menteri dapat memelihara integriti sebagai sebuah kerajaan sebagaimana yang telah dibangunkan di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri. 

Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menjelaskan bahawa beliau sendiri tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk urus tadbir perolehan di bawah KASA. Hal yang demikian dilaksanakan demi menjunjung nilai integriti dalam berkerajaan.

Sewajarnya aspek pengurusan tender kerajaan diberikan kepada sesebuah jawatankuasa tanpa penglibatan pihak yang mempunyai kepentingan tertentu. Ia bagi memelihara integriti sesebuah kerajaan apatah lagi aspek perolehan kerajaan sememangnya suatu ‘lubuk rasuah’ berdasarkan data daripada SPRM sendiri. 

Ironinya seseorang yang sering melaungkan slogan reformasi dan Kerajaan Madani mengambil sikap tidak serius untuk mendukung prinsip integriti dalam pentadbiran. Tindakan melantik anakanda sendiri dalam menguruskan perolehan secara tidak langsung menyebabkan keyakinan rakyat semakin terhakis. 

Satu demi satu langkah Perdana Menteri dan kerajaan pada hari ini tidak seiring dengan slogan yang sering dilaungkan sebelumnya. Malah, negara semakin mengundur ke belakang dengan cara politik lapuk. 

leh itu, saya menasihatkan Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan semula posisi pengurusan tender kerajaan tersebut. Usah tambah kerapuhan dalam kerajaan yang sedia rapuh. Jadilah sebuah Kerajaan dalam erti kata yang sebenar, jika anda memahami apa yang saya maksudkan. 

Sekian, terima kasih.

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -