Konsep konsesi projek MARRIS ‘bunuh’ kontraktor kecil Bumiputera

- Advertisement -

AYER KEROH : Perancangan kerajaan negeri Melaka untuk memberikan projek di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) kepada syarikat-syarikat konsesi yang dilantik boleh menyebabkan lebih 1,000 kontraktor kecil Bumiputera di negeri ini bakal gulung tikar.

- Advertisement -

Wakil kontraktor Melaka, Abdul Aziz Abu Shah berkata di bawah konsep tersebut, syarikat-syarikat konsesi yang dilantik kerajaan akan mengambil untung daripada projek (MARRIS)  yang bakal diberikan kepada kontraktor – menyebabkan keuntungan yang diperoleh semakin mengecil atau berkemungkinan boleh mendatangkan kerugian.

Menurutnya, perkara sebegitu tidak akan berlaku sekiranya projek-projek  MARRIS diuruskan secara langsung melalui jabatan-jabatan kerajaan seperti amalan biasa sebelum ini.  

“Biasanya projek-projek kerajaan disalurkan terlebih dahulu ke pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) atau jabatan-jabatan lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB sebelum diberikan kepada kontraktor-kontraktor terpilih.  

“Namun, kini (mengikut perancangan baharukonsep konsesi kerajaan Melaka), projek-projek  MARRIS ini akan diberikan kepada syarikat-syarikat konsesi (sebelum diberikan kepada kontraktor yang dipilih syarikat konsesi terbabit). 

“Namun, syarikat-syarikat konsesi ini ada kepentingan sendiri. Syarikat konsesi terbabit akan melantik kontraktor kelas F atau G1 dan G2, tetapi ia (syarikat konsesi berkenaan) akan ‘potong’ terlebih dulu keuntungan yang diperoleh,” katanya. 

Tambahnya, selain bayaran yang lebih rendah diterima kontraktor kerana keuntungan yang perlu dikongsi dengan syarikat konsesi terbabit, tempoh pembayaran yang diterima dari konsesi  berkenaan juga lewat yang memakan masa antara tiga sehingga 12 bulan. 

Abdul Aziz berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan berkaitan perkara itu kepada wakil Pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, di sini, pada Rabu.

“Fikirkanlah nasib kami dan pekerja, sudahlah Ramadan sudah dekat dan kemudian hari raya pula. Harap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mempertimbangkan perkara itu dengan sehalus-halusnya,” rayu beliau. 

Terdahulu, lebih 50 kontraktor kecil Bumiputera di Melaka mengadakan perhimpunan aman membantah langkah kerajaan negeri di lokasi yang sama sebelum penyerahan memorandum. – HARAKAHDAILY 27/1/2023

- Advertisement -