Kelab Inggeris lepasi perbelanjaan perpindahan AS$2 bilion

Laporan Perpindahan Global 2022
- Advertisement -

Laporan Pemindahan Global FIFA mendedahkanKelab bola sepak Inggeris membelanjakan lebih AS$2 bilion untuk pembelian baharu buat kali pertama pada 2022 dengan jumlah perpindahan antarabangsa pemain lelaki dan wanita mencatat rekod.

Terdapat 20,209 perpindahan antarabangsa dalam bola sepak profesional lelaki pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 11.6 peratus berbanding 2021, malah melebihi tahap pada 2019, iaitu sebelum wabak Covid-19 melanda dunia.

- Advertisement -

Daripada 2,843 perpindahan yang termasuk yuran, 100 teratas bertanggungjawab untuk hampir 50 peratus daripada semua wang yang dibelanjakan.

Kelab Inggeris sekali lagi mendahului senarai dan buat kali pertama, jumlah perbelanjaan melebihi AS$2 bilion, iaitu mencapai rekod tertinggi hampir AS$2.2 bilion.

“Trend negatif dua tahun dalam perbelanjaan kelab untuk yuran perpindahan berubah pada 2022, dengan jumlah perbelanjaan tahun lalu mencecah AS$6.5 bilion, meningkat 33.5 peratus berbanding 2021. Namun masih di bawah paras tertinggi sepanjang masa pada 2019,” kata Ketua Pegawai Perundangan dan Pematuhan FIFA, Emilio Garcia Silvero.

Bola sepak profesional wanita terus berkembang pada 2022. Jumlah perpindahan antarabangsa tahun lalu hampir dua kali ganda berbanding 2018.

Pada 2022, Silvero berkata jumlah kelab yang terlibat dalam perpindahan antarabangsa meningkat daripada 410 pada 2021 kepada 500 tahun lalu, iaitu peningkatan 22 peratus.

“Semua ini mencerminkan kemajuan mengagumkan apabila semakin ramai pemain wanita menjadi profesional. Sebanyak 1,555 perpindahan antarabangsa dicatatkan pada 2022, peningkatan sebanyak 19.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala 119 persatuan terlibat dalam pemindahan antarabangsa,” katanya. – REUTERS

- Advertisement -