Sikap mandul pemimpin negara Islam perlu dikikis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan membakar Al-Quran oleh pelampau sayap-kanan Sweden-Denmark, di ibu negara Sweden, Stockholm dianggap sebagai satu mesej dunia Barat tidak gerun dengan pemimpin dunia Islam.

- Advertisement -

Ahli akademik, Dr Kamaruzaman Yusoff, berkata mereka faham umat Islam terutamanya pemimpin Islam selesa dibuai kemewahan, kemudahan serta berada dalam tidur yang nyenyak.

“Apabila berlaku hal sebegini, malah lebih teruk iaitu pembunuhan ke atas rakyat Palestin, pelarian Rohingya di Selatan Thailand dan Filipina, mereka tahu pemimpin dunia Islam kini tidak lagi menjadi manusia yang boleh mempertahankan Islam, apatah lagi untuk menyerang balas dengan tindakan yang dilakukan.

“Jika diperhatikan, apabila berlaku peristiwa ini beberapa hari lalu, tiada tindakan yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan yang ada.

“Mereka hanya mengeluarkan surat mengatakan ‘Kami mengecam hebat, tidak bersetuju dan memohon supaya perkara ini diambil tindakan,” katanya dalam Bual Bicara 360: Bakar Quran, Bakar Hati Umat Islam, semalam.

Menurut Dr Kamaruzaman, situasi itu menggambarkan pemimpin dunia Islam hari ini dianggap tidak bermaruah serta tidak mengambil perhatian terhadap penghinaan yang dilakukan kepada Islam.

“Apabila rakyat mereka bangkit, melakukan demontrasi di merata dunia, barulah mereka mula menghantar pelbagai jenis surat yang boleh disebut ‘Surat cinta’ kerana surat itu dihantar, kemudian tiada sebarang tindakan.

“Inilah di antara sifat mandul yang ada dalam kalangan pemimpin negara Islam yang masih perlu lagi diangkat kedudukannya,” katanya.

Menurut beliau, sikap yang ditonjolkan pemimpin Islam kini berbeza dengan tindakan yang digerakkan Al Malik Faisal semasa berlaku peperangan pada tahun 1973.

Selain itu katanya, tindakan keras semasa bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memindahkan kedutaan AS daripada Tel Aviv ke Jurussalem juga diambil oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bukan dari kalangan orang Arab.

“Nampaknya yang tegas ini bukan orang Arab, yang banyak menyatakan sampai  ke tahap ancaman dengan suaran yang tegas, adalah merupakan bukan daripada pemimpin Arab,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2022

- Advertisement -