Saintis Jepun cipta sudu halang tekanan darah tinggi

- Advertisement -

Sekumpulan saintis di Universiti Meiji, Jepun telah membangunkan sejenis sudu elektrik yang mampu menghalang penyakit tekanan darah tinggi akibat daripada pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam.

- Advertisement -

Apa yang menariknya, sudu berkenaan dihasilkan dengan teknologi yang berkemampuan untuk menjadikan lidah manusia meningkatkan rasa masin pada makanan tawar yang dimakan, sekali gus mengelakkan daripada pengambilan makanan yang terlalu masin – pencetus kepada penyakit darah tinggi.

“Ciptaan sudu yang lengkap dengan mangkuk itu yang dijangka mula dijual pada akhir tahun 2023 dengan harga yang belum didedahkan – sangat berkesan sehingga ia meningkatkan rasa masin makanan rendah natrium (garam) sebanyak 1.5 kali ganda,” ujar ketua penyelidikan penyelidikan berkenaan, Prof Homei Miyashita.

Sudu ‘ajaib’ ini membantu manusia untuk mengawal tabiat pemakanan yang tinggi kandungan garam.

Kumpulan saintis tersebut yang berkolaborasi dengan syarikat  penghasilan minuman Kirin Holdings Co. (Kirin), berharap set sudu dan mangkuk berkenaan akan membantu meningkatkan gaya hidup orang ramai.

Di Jepun, pengambilan garam harian adalah 10.9 gram untuk lelaki dan 9.3 gram untuk wanita berumur 20 tahun ke atas – jauh lebih tinggi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5g sehari.

Merujuk kepada fakta perubatan, makanan yang terlalu masin boleh menyebabkan tubuh akan mula menyimpan air tambahan, yang akan membuat tekanan darah meningkat lalu mencetuskan garam sebagai punca tekanan darah tinggi.

Hipertensi merosakkan hampir semua organ dalaman tubuh, yang mana buah pinggang bertanggungjawab untuk mengeluarkan cecair tidak berguna dalam badan manusia.

Pengambilan garam yang berlebihan dalam makanan, justeru ada kaitan dengan peningkatan tekanan darah tinggi, strok (angin ahmar) dan penyakit lain.

Teknologi ‘sensasi rasa elektronik’ pada set peranti sudu dan mangkuk berkenaan berfungsi dengan menggunakan arus elektrik yang sangat lemah untuk memindahkan garam elektrik ke dalam mulut individu.

“Ia tidak memberi sebarang kesan kepada tubuh manusia, sebaliknya mengubah cara rasa makanan melalui persepsi pseudo-deria.

“Ujian klinikal mendedahkan bahawa kemasinan makanan meningkat 1.5 kali ganda apabila menguji  individu yang cuba mengurangkan pengambilan garam dalam pemakanannya,”  jelas Miyashita.

Beliau telah meneliti masalah pengambilan garam di Jepun sejak  tahun 2019,  dengan menjalankan beberapa ujian dan tinjauan.

Peranti sudu pengawal deria masin pada lidah manusia menggunakan teknologi ‘sensasi rasa elektronik’

Satu tinjauan yang dibuat adalah memfokus terhadap 120 lelaki dan wanita berumur 30 hingga 69 tahun yang cuba mengurangkan pengambilan garam mereka.

“Ia menunjukkan bahawa orang ramai di Jepun  yang mahu mengurangkan pengambilan garam cuba mengelak daripada makan mi Raman dan sup Miso – dua makanan teratas dalam senarai makanan yang tinggi kandungan natrium di negara ini.

“Walau bagaimanapun, mereka merasakan bahawa mengurangkan garam dalam hidangan ini menyebabkan mereka berasa tidak puas hati dengan rasanya,” jelas beliau lagi.

Sehubungan, ujar Miyashita, set sudu dan mangkuk  itu bertujuan untuk menghapuskan keperluan garam tambahan sambil menjadikan makanan kurang garam tetap menyelerakan untuk dimakan.

Ini bukan kali pertama Miyashita dan makmalnya meneroka teknologi yang boleh berinteraksi dan merangsang pengalaman deria manusia.

Pada tahun lepas, pasukan saintis itu mencipta peranti gaya penyepit menggunakan teknologi yang sama.

Penyelidik yang sama membangunkan penyepit elektrik yang menghantar ion natrium ke mulut manusia tetapi melalui gelang tangan untuk mencipta semula sensasi rasa masin.

“Seperti teknologi pada sudu berkenaan, peranti itu menggunakan arus elektrik yang lemah untuk menghantar ion natrium daripada makanan, melalui penyepit, ke mulut di mana ia mewujudkan rasa masin,” ujar Miyashita.

Makanan yang tinggi kandungan garam boleh menyebabkan penyakit darah tinggi.

Penyelidik di Kirin, Ai Sato ketika itu berkata bahawa untuk mencegah penyakit darah tinggi, orang ramai perlu mengurangkan jumlah garam yang diambil dalam pemakanan mereka.

“Sekiranya kita cuba mengelak daripada mengambil kurang garam dengan cara konvensional, kita perlu menahan perasaan tidak puas hati kerana tidak dapat menikmati makanan kegemaran daripada diet pemakanan kita,” ujarnya.

Sebelum ini juga, pasukan saintis di bawah Miyashita membangunkan skrin televisyen  yang boleh dijilat, yang mana teknologi itu membolehkan penonton merasai makanan yang disediakan dalam rancangan masakan yang tersirar di TV.

Peranti yang dipanggil Taste the TV (TTTV) mengandungi 10 kanister perisa berbeza, yang menyembur sampel ujian ke skrin bergantung pada apa yang ditunjukkan semasa rancangan masakan sedang disiarkan.

Ia merupakan teknologi percubaan, dengan pembangunnya menjangkakan versi komersial berharga kira-kira AS$875 (RM3,794) setiap satu unit. – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -