Lelaki didakwa serang penjaga gol Arsenal

Penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale, menjadi mangsa serangan di Stadium Tottenham Hostpur
- Advertisement -

Seorang lelaki berusia 35 tahun didakwa menyerang penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale selepas perlawanan derbi London utara di Tottenham, Ahad lalu.

- Advertisement -

Joseph Watts didakwa menyerang dengan memukul dan memasuki ruang bersebelahan kawasan permainan selepas kekalahan 2-0 Spurs kepada pendahulu liga, Arsenal.

Watts dari Hackney, timur London, didakwa semalam dengan sebutan semula di Mahkamah Majistret Highbury pada 17 Februari.

Jurucakap Polis Metropolitan berkata: “Seorang lelaki didakwa menyerang pemain Arsenal selepas perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur pada Ahad, 15 Januari.

“Joseph Watts, 35, dari Hackney didakwa pada Selasa, 17 Januari atas tuduhan menyerang dengan memukul dan memasuki ruang bersebelahan kawasan permainan, iaitu kesalahan mengikut Akta Bola Sepak 1991.

“Beliau perlu hadir semula di Mahkamah Majistret Highbury pada Jumaat, 17 Februari. Pasukan Penyiasat Bola Sepak Metro dibantu oleh Kelab Bola Sepak Tottenham Hotspur dalam siasatan itu.”

Selepas perlawanan itu, Persatuan Bola Sepak England mengutuk sekeras-kerasnya insiden yang melibatkan penjaga gol Arsenal, Ramsdale, susulan kemenangan pasukannya ke atas Tottenham. – SKYSPORTS

- Advertisement -