Kekuatan PN di Pahang, Perak, Melaka dan Johor

Gelombang Hijau: ‘Strong, Formidable and Convincing’ (2)

- Advertisement -

‘GELOMBANG Hijau’ turut melanda dengan kekuatan yang ‘formidable’ di Pahang dan Perak hingga hampir dapat membentuk kerajaan negeri. Manakala di Melaka dan Johor turut bergelombang dengan lebih besar serta mencipta potensi ‘convincing’ untuk masa depan PN.

- Advertisement -

Berikut huraian perincian mengikut negeri-negeri tersebut:

Pahang

Di Pahang, jika PRU14 seakan pertembungan antara BN dan PH, tetapi PRU15 menjadi sebaliknya iaitu antara BN dan PN. Bagi Parlimen PRU14, BN menang 9 kerusi dan PH pula 5 kerusi, sedang PAS tidak memenangi sebarang kerusi. Namun pada PRU15, PN meraih 7 kerusi, BN tinggal 5 kerusi dan PH pula berbaki 2 kerusi.

Bagi DUN PRU14, BN unggul dengan 25 kerusi, PH dengan 9 kerusi dan PAS hanya 8 kerusi. Tetapi PRU15 menyaksikan BN dan PN masing-masing menang 17 kerusi, sedang PH kekurangan kepada 8 kerusi sahaja. Namun, BN memilih bergabung bersama PH membentuk kerajaan negeri.

Menariknya, Gelombang Hijau jelas berlaku kepada PN yang menerima peningkatan jumlah undi hingga menarik undi di pihak BN, dan mengalih sokongan serta mengurangkan undi PH. PN mendapat 37.9 peratus atau 330,912 undi daripada keseluruhan jumlah undi sah sebanyak 872,888 undi.

Sedangkan pada PRU14, PAS menerima 25.7 peratus atau 170,605 undi daripada keseluruhan 662,570 undi. BN pada PRU14 mendapat 43.15 peratus, merosot kepada hanya menerima 38.4 peratus pada PRU15. Begitu juga PH, dari 30.9 peratus undi diperolehi pada PRU14, tetapi pada PRU15 hanya 22.9 peratus.

Berdasarkan kekuatan gelombang tersebut, seandainya BN dan PH sejak awal ‘berani’ membayangkan mereka akan bergabung pasca-PRU15, semua kerusi BN akan tewas kepada PN, kecuali P.078 Cameron Highlands yang akan beralih ke tangan PH. Begitu juga PH akan turut tewas kepada PN di P.080 Raub.

BN juga hanya akan menang 2 DUN sahaja daripada 17 DUN yang dimenangi PRU15 baru-baru ini. Iaitu di N.02 Jelai yang kini dipegang oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan N.05 Benta sahaja. Manakala kerusi PH yang sepatutnya tewas kepada PN ialah N.13 Semambu.

Ini bererti PN sepatutnya menang 33 DUN di mana bukan sahaja memerintah Kerajaan Negeri Pahang, tetapi juga dengan kekuatan melebihi majoriti dua pertiga. Pun demikian, dengan faktor politik semasa, PN dijangka mencapai mudah kemenangan tersebut pada PRU16 nanti, insyaAllah.

Perak

Di Perak, pada PRU14 dahulu PAS mendapat 16.3 peratus undi dan tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen. Tetapi PRU15 menyaksikan blok PN diwakili PAS dan BERSATU mendapat 30.8 peratus undi. Peningkatan memberangsangkan sekali ganda itu membolehkan PN meraih kemenangan di 10 Parlimen. 

PH pula dari mengungguli 13 Parlimen pada PRU14 dahulu, kali ini susut 2 kerusi apabila cuma menang 11 Parlimen PRU15. PH juga mengalami kemerosotan undi sebanyak 7 peratus apabila menerima 43.3 peratus undi, berbanding 50.3 peratus pada PRU14 dahulu.

Sementara BN hanya tinggal 3 kerusi dengan mendapat 25 peratus undi sahaja, berbanding 11 Parlimen dimenangi PRU14 dahulu meliputi 33.2 peratus undi. Pada PRU14 dahulu, jumlah undi sah adalah sebanyak 1,189,267 undi, di mana pada PRU15 pula adalah sebanyak 1,482,208.

PN juga sepatutnya telah memimpin Kerajaan Negeri Perak kerana boleh memenangi 39 DUN berdasarkan ‘Gelombang Hijau’ dan penolakan ketara kepada BN. Dari 9 DUN dimenangi BN ketika ini, mereka sepatutnya tewas di semua kerusi itu dan PH pula mengalami penyusutan undi ketara.

PH juga akan tewas di 4 DUN yang dimenangi ketika ini kepada PN, iaitu N.24 Hulu Kinta, N.26 Tebing Tinggi, N.43 Tulang Sekah dan N.44 Sungai Rapat. Daripada 59 DUN, PRU14 lalu PH menang 29 DUN, BN menang 27 DUN dan PAS cuma 3 DUN. Tetapi PRU15 ini, PN menang 26 DUN, PH menang 24 DUN dan BN cuma 9 DUN.

Bagaimanapun, PH yang didominasi dan diketuai DAP telah berpakat dengan BN diketuai Umno mencukupkan majoriti mudah untuk menjadi kerajaan. Dato’ Seri Shaarani Mohamad yang sepatutnya tewas itu diberikan kedudukan sebagai Menteri Besar, ia setelah beliau berada di jawatan itu sebelum ini juga dengan sokongan DAP.

Melaka

Semangat ‘Tak kan Melayu Islam di dunia’ diungkap Hang Tuah begitu ketara dalam keputusan PRU15 di Melaka. PN mengungguli kedudukan teratas apabila mendapat 159,238 undi bersamaan 30.9 peratus. Disusuli BN menerima 152,613 undi (29.6%), manakala PH memperoleh 125,272 undi (24.3%) daripada keseluruhan 515,041 undi.

Sedangkan pada PRU14 lalu, PAS ketika itu yang kini bersama blok PN hanya mendapat 8.65 peratus atau 35,733 undi. Sedangkan PH ketika itu memperoleh 52.9 peratus atau 218,415 undi. Manakala BN menerima 38.1 peratus atau 157,339 undi daripada keseluruhan 412,902 undi tahun 2018 itu.

Ianya menghasilkan keputusan di 6 Parlimen negeri ini telah dimenangi sama banyak, iaitu masing-masing 3 Parlimen oleh PN dan PH, berbanding pada PRU14 dahulu PH (4) dan BN (2). PRU15 ini PH gagal mempertahankan kerusi P.136 Tangga Batu dan BN pula terus ‘lenyap’ di Parlimen negeri bersejarah itu.

Pada PRU14 lalu, dari 28 DUN Melaka, PH menang 15 DUN sekali gus menjadi kerajaan, manakala BN menjadi pembangkang dengan menang hanya 13 DUN. Seperti diketahui umum, Melaka antara yang awal mengadakan PRN atas kemelut dan permainan politik pihak tertentu.

PRN itu berkeputusan BN menerima mandat di 21 DUN dan PH hanya tinggal 5 DUN, manakala PN mendapat 2 DUN. Bagaimanapun, jika corak sokongan PRU15 kekal pada PRN seterusnya, BN dilihat hanya mampu bertahan di N.10 Asahan dan N.27 Merlimau, sementara PH pula bakal kehilangan N.17 Bukit Katil.

Johor

Di Selatan Tanah Air, PH masih blok terbesar yang mengumpul 42.7 peratus undi apabila menang 15 Parlimen termasuk P.146 Muar yang ditandingi atas tiket MUDA. Pun begitu, ianya merosot berbanding PRU14 di mana PH menang 18 Parlimen ketika itu dengan 54.4 peratus undi diperolehi.

BN pula sungguhpun berjaya melakukan pertambahan kepada 9 Parlimen berbanding PRU14 hanya menang 8 kerusi, tetapi mengalami kemerosotan sebanyak 8.6 peratus. PRU kali ini BN hanya menerima 30 peratus berbanding 38.6 peratus undi semasa PRU14 tahun 2018 dahulu.

PAS pada PRU14 dahulu adalah blok PN pada hari ini yang mencatat dapatan hanya 7 peratus undi, di mana hilang deposit di kebanyakan kerusi. Bagaimanapun PRU15 atas bendera PN berjaya meraih P.143 Pagoh dan P.154 Mersing dengan mendapat sejumpah 26.9 peratus undi iaitu meningkat 20 peratus.

‘Gelombang Hijau’ boleh menjadi lebih besar di negeri ini seandainya BN sejak awal menzahirkan hasrat bersama PH pasca-PRU15. Kerusi BN akan beralih ke PN adalah P.147 Parit Sulong, P.148 Ayer Hitam, P.155 Tenggara, P.156 Kota Tinggi, P.157 Pengerang, P.164 Pontian dan P.165 Tanjung Piai. 

Begitu juga PH, disebabkan ‘persundalan’ itu akan turut terjerumus tewas kepada PN di kerusi P.141 Sekijang dan P.146 Muar. BN hanya memperolehi kepastian menang cuma satu kerusi iaitu P.151 Simpang Renggam, manakala satu kerusi, P.153 Sembrong pula berada pada situasi 50-50 antara BN dan PN.

Ini bererti, PN sebenarnya boleh memenangi sekurang-kurangnya 11 Parlimen, manakala PH pula akan hanya memperolehi 13 Parlimen. Namun paling nyata daripada keputusan PRU15 ini ialah kemenangan BN pada PRN15 tahun lalu hingga dapat memerintah negeri, adalah tidak signifikan.

Pada PRN15 Johor, BN menerima 40 DUN, PH memperoleh 13 DUN termasuk masing-masing 1 DUN atas tiket PKR dan MUDA, sementara PN hanya mendapat 3 DUN. Sedangkan semasa PRU14 dahulu, PH memperoleh 36 DUN, BN menerima 19 DUN dan PAS mendapat hanya 1 DUN sahaja.

BN sepatutnya hanya menang 7 DUN iaitu di N.06 Bekok, N.26 Machap, N.27 Layang-layang, N.30 Paloh, N.31 Kahang, N.55 Pekan Nanas dan N.56 Kukup. Satu kerusi BN N.19 Yong Peng akan beralih kepada PH, namun satu kerusi PH iaitu N.13 Simpang Jeram pula beralih kepada PN.

Ini bermakna PN insyaAllah sebenarnya boleh menang di 36 DUN dan mentadbir Kerajaan Negeri Johor, manakala PH kekal 13 DUN. Keseluruhan jumlah undi sah pada PRU15 di negeri tersebut adalah 1,933,629 berbanding 1,507,396 undi semasa PRU14 tahun 2018 dahulu.

Bersambung….

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 23/12/2022

- Advertisement -