Gelombang Hijau: ‘Strong, Formidable and Convincing’ (1)

- Advertisement -

KEPUTUSAN PRU15 mengesahkan ‘Gelombang atau Tsunami Melayu-Bumiputera dan Islam’ benar-benar wujud menyekat kemaraan dan perancangan sulit Pakatan Harapan (PH). Malah, ia menyaksikan kejutan terhasil di luar jangkaan parti-parti terlibat, termasuk oleh badan penyelidikan atau para penganalisis.

- Advertisement -

Lebih dipopularkan oleh kebanyakan pihak dengan istilah ‘Gelombang Hijau’, ia sebenarnya hampir tidak kelihatan ketika memasuki gerbang PRU15. Ini kerana hakikatnya telah bergelombang seawal tahun 2018 ekoran pelbagai polemik yang ditimbulkan oleh pemerintahan Kerajaan PH. 

Koalisi yang dicengkam DAP itu banyak menyentuh sensitiviti rakyat dan negara sehingga diamarankan menerusi Himpunan 812 Bantahan ICERD dan Statut Rom. Himpunan tersebut telah menjadi titik gelombang perubahan atau peralihan sokongan daripada PH kepada agenda Penyatuan Ummah.

Isyarat jelas penolakan kepada PH itu juga dibuktikan dengan kekalahan teruk mereka di 12 PRK serta PRN Sabah dan Sarawak. Pun begitu, pada PRN Melaka dan Johor, wujud dua gelombang yakni terhadap PH dan juga Barisan Nasional (BN). Malangnya, ‘gelombang boikot’ itu menguntungkan BN. 

‘Gelombang Hijau’ ini dikesan semula sepanjang tempoh kempen PRU15 selama dua minggu itu di mana berlangsung secara aman dan tenang. Berbeza dari tsunami digelombangkan PH menjelang PRU14 lalu yang penuh dengan hasutan tuduhan, fitnah, kebencian dan provokatif.

Ukuran Gelombang

Besarnya gelombang ini, hingga ia meranapkan terus BN di Perlis yang tewas di 10 DUN dimenangi pada PRU14. Manakala PH dari tiga DUN hanya tinggal N.08 Indera Kayangan, menjadikannya pembangkang tunggal di negeri itu. Perikatan Nasional menyapu bersih 14 DUN dan tiga Parlimen.

PN mendapat 80,287 undi bersamaan 54.1 peratus, BN peroleh 35,365 undi (23.85%) dan PH menerima hanya 29,317 undi (19.8%) daripada 148,277 undi keseluruhan. Bakinya undi adalah kepada calon WARISAN, PEJUANG dan BEBAS yang semuanya hilang deposit.

Keputusan Parlimen Kedah menyamai DUN Perlis di mana dari asal 10 kerusi PH, tiga PAS dan dua BN pada PRU14. Tetapi pada PRU15 bertukar 14 kerusi kepada PN dan hanya P.015 Sungai Petani kekal untuk PH. Itupun dengan majoriti tipis 1,115 undi berbanding 21,569 undi majoriti pada PRU14.

Dari 1,209,539 undi keseluruhan, PN mendapat 664,720 undi atau 55 peratus, PH menerima 281,523 undi (23.3%) dan BN peroleh 235,353 undi (19.5%). Bakinya parti-parti lain dan BEBAS. Pada PRU14 dulu, PH menang 18 DUN, PAS (15) dan BN (3), namun PRN nanti perubahan besar pasti berlaku.

Dengan prestasi semasa, PN dijangka menang dengan sangat kukuh yakni lebih dua pertiga daripada keseluruhan 36 DUN di negeri Jelapang Padi itu. Manakala PH dilihat sekadar mungkin dapat bertahan di N.11 Derga, N.13 Kota Darul Aman, N.28 Bakar Arang, N.29 Sidam dan N.34 Lunas sahaja.

Di Kelantan, PN mendapat 631,201 undi (63.7%), BN menerima 265,666 undi (26.8%) dan PH peroleh 87,293 undi (8.8%) dari 991,571 undi keseluruhan. PN berlogokan PAS menang semua 14 Parlimen berbanding 9 Parlimen semasa PRU14 lalu. Untuk PRN 2023, PAS berpeluang menang semua 45 DUN berbanding 37 DUN pada PRU14 dahulu.

Di Terengganu, dari 666,701 undi keseluruhan, PAS mewakili PN mendapat 345,484 undi (51.8%), BN menerima 234,392 undi (35.2%) dan PH peroleh 40,645 undi (6.1%). PAS menang semua 8 Parlimen berbanding PRU14 lalu 6 Parlimen. Dari 32 DUN, BN menang 10 kerusi PRU14 lalu, namun dijangka hanya tinggal 2 DUN pada PRN nanti.

Bersambung…

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 16/12/2022

- Advertisement -