
DETROIT: Taufan salji atau ‘bom siklon’ Artik yang sangat sejuk dan berbahaya dijangka akan muncul susulan fenomena ribut salji yang kini melanda seluruh Amerika Syarikat.
Ribut musim sejuk yang mula melanda sejak Khamis (22 Dis), waktu tempatan menjelang hari Krismas (25 Dis) yang dijangka diraikan dalam cuaca paling sejuk dalam rekod sejarah negara itu, mengancam perjalanan berjuta-juta penduduk AS sempena cuti Krismas dan hujung tahun 2022, lapor Reuters.
Laporan USA Today pula berkata, sekurang-kurangnya lima negeri AS – Kentucky, Missouri, Oklahoma, Georgia dan North Carolina telah melaksanakan tindakan kecemasan yang dijangka akan diikuti negeri-negeri lain di negara itu.
Ribut salji yang sangat lebat dijangka akan turun dengan melanda wilayah Great Lakes, dengan penurunan hujan sehingga 2 inci, diikuti pembekuan yang berlaku secepat kilat di Pantai Timur, tiupan angin mencecah 100 kilometer sejam (km/j) dan tahap sejak melampau hingga ke selatan di sempadan Mexico.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS dalam laman webnya telah mengeluarkan kenyataan bahawa ketika ribut salji itu bergerak di atas Great Lakes, fenomena cuaca yang dikenali sebagai ‘bom siklon’ dijangka berkembang disebabkan ‘kesan pendalaman mendadak sistem tekanan rendah’.
“Selepas itu, taufan salji itu boleh menyebabkan salji turun setengah inci dalam tempoh sejam dan deruan angin mencecah lebih 80 km/j di Upper Midwest dan pedalaman Timur Laut AS.
“Ini akan menimbulkan keadaan berbahaya kepada perjalanan darat dan udara penduduk negara ini sempena cuti Krismas dan hujung minggu nanti, dengan jangkaan berkemungkinan besar pokok-pokok akan tumbang dan bekalan elektrik terputus,” ujar kenyataan itu.
Sementara pakar meteorologi di Pusat Ramalan Cuaca AS, Ashton Robinson Cook berkata bahawa lebih separuh daripada 48 negeri di AS – dari Washington ke Florida, berada di bawah tanda amaran cuaca musim sejuk, termasuk ancaman angin sejuk yang dijangka menjejaskan kira-kira 135 juta penduduk.

“Ini bukan seperti salji yang turun seperti di zaman kanak-kanak anda dahulu,” tegas Presiden, Joe Biden kepada pemberita dalam taklimat Rumah Putih mengenai kegawatan sistem pengangkutan yang dijangka dialami di seluruh AS akibat cuaca sejuk kali ini.
Persatuan Automobil Amerika (AAA) menganggarkan 112.7 juta orang merancang untuk melakukan perjalanan sejauh 80 km atau lebih dari rumah antara 23 Disember 2022 dan 2 Januari 2023, peningkatan sebanyak 3.6 juta orang berbanding tahun lepas dan menghampiri jumlah pra-pandemi.
“Banyak syarikat penerbangan AS telah mengetepikan fi pertukaran dan perbezaan tambang untuk penumpang,” ujar kenyataan AAA.
Sementara Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, jisim udara sejuk yang telah menyelubungi negeri utara telah menolak ke selatan melalui tengah Oklahoma dan barat laut Texas, yang mana merkuri dijangka menjunam kepada kira-kira -7 darjah Celsius pada hari Khamis.
“Digabungkan dengan tiupan angin sehingga 100 kph, seram angin boleh turun sehingga tolak 40 C.
“Suhu di bahagian Dataran Selatan dan Tenggara boleh kekal di bawah paras beku, 30 darjah kurang daripada suhu biasa buar selama beberapa hari,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 23/12/2022




















