Projek rintis KKM beri ubat PrEP kepada pasangan gay?

- Advertisement -

KEBIMBANGAN sekumpulan pengamal kesihatan berhubung penggunaan ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) yang akan diperluaskan kepada pasangan gay nampaknya hampir menjadi kenyataan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan akan memulakan projek rintis.

- Advertisement -

Sebelum ini, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Malaysia (I-Medik) membantah rancangan KKM yang mahu meluaskan penggunaan ubat PrEP kepada pasangan homoseksual berstatus HIV-negatif, namun semalam Menterinya, Dr Zaliha Mustafa pula mengesahkan akan memulakan projek rintis atas alasan untuk mencegah penyebaran wabak HIV.

“Penggunaannya sudah dikaji. Kita telah bincang dengan pakar agama untuk tahu dari sudut hukum dan sebagainya.

“Penggunaannya bukan hanya kepada golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) tetapi ada beberapa lagi golongan lain yang akan menggunakannya untuk kita menyekat penularan HIV,” katanya dipetik laporan Bernama.

Jelasnya, Penggunaan ubat PrEP dikatakan mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV menerusi seks sebanyak kira-kira 90 peratus apabila diambil mengikut preskripsi yang ditetapkan.

Untuk rekod, PrEP adalah ubatan oral yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV yang tersebar melalui hubungan kelamin ataupun penggunaan jarum suntikan yang telah pun diedarkan melalui klinik-klinik kesihatan di Selangor, Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan juga Sabah.

Buat masa ini, PrEP diberikan kepada individu berstatus HIV-negatif yang berisiko untuk mendapat HIV, seperti pasangan kepada individu yang telahpun menghidap HIV.

Individu yang menghidap HIV serta keluarga mereka adalah kategori pesakit yang layak untuk dilindungi dan sepatutnya menerima rawatan terbaik yang tersedia.

I-Medik juga tidak menyokong rancangan KKM tersebut kerana ia melibatkan kos yang tinggi dan akan menggunakan peruntukan daripada pembayar cukai.

“Berbeza dengan PrEP yang memerlukan lelaki yang mengamalkan seks dengan lelaki (MSM) untuk mengambil ubat tersebut setiap hari kerana mereka dikategorikan sebagai “individu yang kerap terdedah kepada risiko”.

“Mengambil kira majoriti pengamal MSM adalah mereka yang masih muda, strategi ini bukan sahaja berupaya meruntuhkan nilai moral masyarakat, bahkan juga dari sudut ekonomi, ia akan menyebabkan berlakunya perbelanjaan yang tinggi dan tidak munasabah.

“Hasil negara yang dikutip melalui pembayar cukai akan dibelanjakan seterusnya membolehkan individu yang berisiko dari segi tingkah laku untuk meneruskan aktiviti mereka sedangkan mereka boleh meninggalkan perbuatan berisiko tinggi dengan memberikan fakta kesihatan yang betul dari aspek kesihatan dan motivasi dari sudut moral,” kata kumpulan itu.

Tegas kumpulan itu lagi, tidak sepatutnya wang pembayar cukai digunakan semata-mata untuk membiayai pengamal seks songsang tersebut, ia sepatutnya digunakan untuk merawat penyakit yang lebih kritikal.

“Daripada menggunakan dana kita yang terhad kepada PrEP yang ternyata merupakan gaya hidup dan pilihan seseorang untuk mengamalkan seks anal, dana kesihatan kita boleh dimanfaatkan untuk penyakit-penyakit lain seperti penyakit kongenital (penyakit sejak lahir) atau pun penyakit tidak berjangkit (NCD),” katanya lagi. – AgendaDaily 13/12/2022

Sumber Asal: https://www.agendadaily.com/isu-semasa/kkm-sahkan-mula-projek-rintis-beri-ubat-prep-kepada-pasangan-gay/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

- Advertisement -