Projek tebatan banjir RM15 bilion belum lulus, tak timbul isu pembatalan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Fakta bahawa projek tebatan banjir dengan cadangan peruntukan asal RM15 bilion belum diluluskan menjadikan tidak timbul isu peruntukan RM7 bilion yang diarahkan dikaji semula oleh Perdana Menteri baharu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau tidak pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) dengan sebarang syarikat yang berkaitan projek tebatan banjir.

“Tiada SST yang dikeluarkan kepada mana-mana syarikat sehingga sekarang. Saya juga tidak pernah menandatangani projek tebatan dengan cadangan peruntukan RM15 bilion, jadi tidak timbul soal hendak batal sebab ia belum lulus dan tidak dimulakan lagi. 

“Kita pun tidak tahu peruntukan RM7 bilion yang hendak dikaji semula oleh Perdana menteri baharu (Anwar), memandangkan cadangan peruntukan asal berjumlah RM15 bilion,” jelasnya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Hari Kelantanku Bersih dan pelancaran Dasar Kelantanku Bersih di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Dato’ Dr Izani Husin dan wakil-wakil rakyat. 

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Anwar mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Laporan media berkenaan menyebut bahawa Anwar dalam kenyataannya sebagai mendakwa, projek tersebut membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai isu berkenaan, Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, setiap kali berlaku banjir, negara kerugian antara RM6 bilion hingga RM7 bilion.

Tambah beliau, Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Ismail Sabri melihat akan keperluan dana yang besar diperuntukkan bagi mengatasi masalah banjir di negara ini. 

“Isu tebatan banjir perlu diberi perhatian serius demi kepentingan rakyat dan negara dalam usaha mengurangkan bencana, kematian dan kerugian harta benda,” ujarnya.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, kerajaan baharu pimpinan Anwar perlu memberi penekanan terhadap projek tebatan banjir memandangkan saban tahun negeri-negeri di Pantai Timur mengalami banjir sejak berpuluh-puluh tahun lalu. 

“Diharapkan projek tebatan banjir fasa pertama yang telah dilaksanakan (yang tiada kaitan dengan projek tebatan banjir dengan peruntukan asal RM15 bilion berkenaan) diteruskan oleh kerajaan baharu demi kepentingan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/2022

- Advertisement -