Agenda kebersihan 2023: Kelantan sedia peruntukan RM16.25 juta

Ahmad Yakob (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Dasar Kelantanku Bersih di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Dis 2022.

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meneruskan agenda bagi meningkatkan lagi kebersihan di negeri ini dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM16.25 juta bagi tahun 2023.

Advertisement

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peruntukan tersebut termasuk bagi menjayakan program Kelantanku Bersih.

“Ia (faktor kebersihan) menjadi antara keutamaan kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat dan imej negeri sebagai destinasi tarikan pelancong.

“Semoga setiap anggota masyarakat termasuk belia, peniaga dan orang ramai sentiasa memberikan kerjasama membantu kerajaan negeri mencapai sasaran dan objektif yang ditetapkan,” ujarnya ketika merasmikan pelancaran Dasar Kelantanku Bersih, di sini, hari ini.  

Sehubungan itu, beliau berharap dengan pelaksanaan kempen tersebut, orang ramai sentiasa mengutamakan kebersihan sebagaimana dituntut agama Islam.

“Kelantanku Bersih akan menjadi rujukan dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan program berkaitan kebersihan dan kesihatan di setiap jabatan dan agensi kerajaan negeri,” ujar Ahmad.

Tambah beliau, pelaksanaan dasar tersebut memberi gambaran yang jelas mengenai hala tuju dan komitmen kerajaan Kelantan mendepani cabaran masa hadapan dengan mengambil kira kepesatan pembangunan, pertumbuhan penduduk serta bencana alam luar jangka.

“Setiap PBT perlu perlu mengambil langkah proaktif seperti penggunaan kaedah penyelesaian berasaskan alam semula jadi, penggunaan teknologi hijau dan mempraktikkan amalan-amalan hijau,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/2022