PRN 6 negeri wajar diadakan pada hari kelepasan am

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengambil kira hari kelepasan am sebelum menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri menjelang tahun hadapan.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu penting dengan mengambil kira peratusan keluar mengundi di kedua-dua Dewan Undangn Negeri (DUN) Tioman dan Padang Serai semalam untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana ia diadakan bukan pada hari pelepasan am.

“SPR perlu meneliti tarikh dan waktu yang sesuai dan mengelakkan hari bekerja kerana ia memberi kesan kepada pengundi untuk keluar mengundi.

“Sepatutnya perkara seperti itu tidak berlaku lagi. Kita perlu beri kemudahan kepada pengundi untuk keluar mengundi,” tegasnya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, jika PRN ditetapkan untuk diadakan pada hari bekerja, sudah tentu ia akan menyusahkan pengundi.

“Saya harap perkara itu dipertimbangkan semula SPR. Apa yang berlaku pada pilihan raya DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai terbalik, hari penamaan calon dibuat pada hari cuti tetapi hari mengundi pada hari bekerja,” katanya.

Terdahulu, SPR mengumumkan bahawa peratusan pengundian di Padang Serai adalah sebanyak 74.71 peratus, manakala DUN Tioman pula mencatatkan 77.47 peratus.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, PRN di enam negeri wajar dilakukan secara serentak. 

“Perkara ini akan dibincang di peringkat tertinggi Majlis PERIKATAN NASIONAL (PN) dan secara peribadi saya berpandangan tidak ada masalah dipertimbang pengundian di enam negeri secara serentak,” ujarnya lagi.

Sehingga sekarang, enam negeri belum mengadakan PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dengan mengambil kira musim tengkujuh ketika ini. – HARAKAHDAILY 8/12/2022

- Advertisement -