Bukti rakyat percaya PN wadah terbaik untuk Malaysia

P.017 Padang Serai dan N.42 Tioman

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menzahirkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada PERIKATAN NASIONAL atas keputusan Pilihan Raya di Padang Serai dan Tioman. Tahniah kepada YB Cikgu Azman atas mandat bagi menambah suara kita di Dewan Rakyat. Dan tahniah juga buat calon PAS, Saudari Nor Idayu Hashim atas usaha menambah undi PERIKATAN NASIONAL di Tioman, dan hampir mencapai kemenangan.

- Advertisement -

Keputusan PRU di kedua-dua kawasan ini adalah suatu isyarat jelas penerimaan dan keyakinan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL, khususnya di peringkat Persekutuan. Sudah tentu kejayaan ini adalah atas usaha keras semua pihak yang istiqamah memacu Malaysia ke arah negara yang prihatin, bersih dan stabil. Kemenangan ini juga adalah hasil kegigihan jentera, khususnya jentera Pemuda PAS dan PN yang ikhlas dalam misi merubah masa depan negara.

Keputusan ini nyata memberi tamparan besar buat Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, yang kini bergabung membentuk Kerajaan Campuran. Sekalipun pengundi PH mampu memberikan sokongan pada calon BN di Tioman, namun pengundi BN masih tidak mampu memberikan sokongan yang sama pada calon PH di Padang Serai. 

Walaupun dengan kekuatan sebagai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang, mereka tetap mengalami kekalahan besar di Padang Serai, yang dimenangi PH dengan majoriti besar sejak 2008, dan hanya mampu menang dengan majoriti tipis di Tioman, kubu kuat BN sendiri. Menarik untuk ditelusuri apakah gabungan PH-BN ini mampu diteruskan selepas ini? Tepuk dada tanya diri sendiri.

Bergerak ke hadapan, PERIKATAN NASIONAL akan terus memberikan komitmen sehabis baik dalam memastikan kemajuan dan kemakmuran negara. Kepercayaan rakyat yang memilih PERIKATAN NASIONAL, tidak akan dipersiakan. Kita yakin inilah wahana terbaik dalam memacu Malaysia ke arah negara yang sejahtera dan berintegriti.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 8/12/2022

- Advertisement -