Kabinet bayangan satu keperluan

- Advertisement -

AKHIRNYA Kabinet diumumkan lebih seminggu selepas Perdana Menteri dilantik. Mungkin pengumuman paling lewat dalam sejarah negara kita. Tetapi tidak menghairankan memandangkan kerajaan kali ini bagaikan perkahwinan yang terpaksa.

- Advertisement -

Parti-parti yang membentuk kerajaan bagaikan langit dengan bumi. Ada yang liberal, ada yang cauvinis, ada yang ultra dan ada yang kenegerian. Sebelum Pilihan Raya Umum mereka saling serang menyerang di antara satu lain. Tidak disangka-sangka mereka akan ‘berkahwin’ dan mendirikan ‘rumahtangga’. Sudah tentu begitu banyak ludah-ludah di lantai yang terpaksa dijilat.

Habuan-habuan berbentuk jawatan Menteri dan Timbalan Menteri sudah tentu terpaksa diagih-agihkan agar parti-parti berpuas hati dan kerajaan yang dibentuk tidak tumbang. Walau bagaimanapun pelantikan-pelantikan ini dilihat oleh rakyat sebagai tidak masuk akal tetapi terpaksa dilakukan agar yang rapuh tidak berderai.

Yang tercemar terpaksa disucikan, yang tercicir terpaksa dipungut. Rata-rata rakyat terkejut dan kecewa dengan Kabinet yang diumumkan. Media asing yang pada mulanya mengalu-alukan pelantikan Perdana Menteri yang baharu telah turut mempersoalkan Kabinet yang dibentuk. Integriti merupakan topik utama yang dibangkitkan apabila mereka di sosial media dan warung kopi bersembang mengenai Kabinet kerajaan baharu ini.

Tetapi hanya setelah beberapa bulan selepas Menteri dan Timbalan Menteri menjalankan tugas kita akan mendapat mendengar pandangan, cadangan dan teguran yang khusus. Kritikan dan teguran itu penting. Tetapi kritikan dan teguran itu mestilah bukan bertitik tolak dari rasa benci atau kekecewaan semata-mata. Ianya mesti konstruktif. Membetulkan yang salah. Meluruskan yang bengkok. Mencelikkan mata Menteri dan Timbalan Menteri terhadap yang mereka tidak nampak.

Justeru konsep Kabinet Bayangan (Shadow Cabinet) yang diamalkan di negara-negara lain perlu diwujudkan. Ia bukan bertujuan semata-mata untuk menyediakan mereka yang akan mengambil alih apabila kerajaan bertukar. Tetapi untuk memastikan kepentingan rakyat terjamin dan sebarang perancangan adalah pada landasan yang menguntungkan rakyat.

Setiap kementerian perlu dipantau dengan teliti. Setiap kementerian perlu memiliki Menteri Bayangan (Shadow Minister). Contohnya bagi Menteri Pengangkutan (Minister of Transport) akan dibayangi oleh Menteri Bayangan Pengangkutan (Shadow Transport Minister). Hanya mereka yang berada di dalam Kabinet Bayangan ini dibenarkan membuat kenyataan atau komen dan hanya untuk portfolio yang dikhususkan untuk mereka.

Ini bermakna Menteri Bayangan Perumahan tidak boleh membuat sebarang kenyataan untuk isu-isu kesihatan atau ekonomi. Ini untuk mengelakkan keadaan menjadi haru biru apabila pemimpin-pemimpin pembangkang bebas membuat kenyataan dan terdapat komen yang kadang-kala bercanggah di antara satu sama lain. Ia juga untuk mengelakkan mereka membuat kenyataan dan komen yang tidak masuk akal atau tidak cerdik kerana bukan bidang mereka.

Sudah tentu mereka memerlukan sokongan. Jika Menteri Persekutuan disokong oleh kakitangan di kementerian dan pakar-pakar maka sudah tentu Menteri Bayangan juga perlu disokong oleh satu jawatankuasa yang khusus. Tidak memadai satu jawatankuasa untuk keseluruhan Kabinet Bayangan tetapi satu jawatankuasa khusus untuk setiap Menteri Bayangan.

Jawatankuasa yang dianggotai oleh mereka yang memiliki kepakaran dalam portfolio yang dibayangi bukan dilantik berdasarkan jawatan mereka di dalam parti. Jika ada 25 Menteri maka perlu ada 25 jawatankuasa.

Pembangkang mesti menunjukkan mereka serius dan berkemampuan. Mereka perlu menghasilkan penyelesaian-penyelesaian dan bukan menghasilkan kenyataan-kenyataan ‘nasi tambah’ iaitu kenyataan sekadar kenyataan tanpa sebarang nilai tambah. Mereka perlu bertindak agar mereka dilihat sebagai berperanan untuk membangunkan negara.

Walau bagaimanapun kerajaan hari ini perlu mengubah sikap dengan menganggap pembangkang sebagai rakan kongsi untuk membangunkan negara bukan menganggap pembangkang sebagai tidak setia kepada negara apabila mereka menegur. Di UK, ketua pembangkang di Parlimen disebut sebagai ‘His Majesty’s Most Loyal Opposition’ atau ‘Pembangkang Baginda Yang Setia‘ bukan penderhaka atau pengkhianat. Peranan pembangkang mesti diiktiraf. Proses ‘check and balance‘ (semak dan imbang) adalah amat penting dalam menjaga kepentingan rakyat dan pembangunan negara.

Kita berada di zaman di mana rakyat akan menilai setiap kata-kata yang diucapkan oleh pemimpin-pemimpin. Setiap perkataan yang keluar dari mulut pemimpin akan diulang-ulang oleh media sosial jika telah mencetuskan kontroversi. Mereka mungkin berucap di Kelantan yang mungkin bersesuaian dengan masyarakat di sana tetapi jika diulang oleh media sosial di Johor mungkin berbeza penerimaannya rakyat. Ucapan seorang pemimpin di satu ceramah kecil di sebuah kampung di Hulu Terengganu boleh ditonton di pedalaman Amerika dalam sekelip mata. Dengan adanya Kabinet Bayangan, kenyataan-kenyataan dan komen-komen pemimpin terutamanya Ahli Parlimen akan dapat dikawal agar tidak merugikan. Kita tidak mahu masa dihabiskan semata-mata untuk melakukan ‘damage control‘ kerana terdapat mereka yang terlajak perkataan.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/12/2022

- Advertisement -