Politik banjir yang merugikan rakyat

SERING kali bila berlakunya bencana banjir, maka pemimpin-pemimpin politik sama ada dari pihak parti kerajaan atau pihak parti pembangkang berlumba-lumba membantu rakyat yang menjadi mangsa. PAS antara parti politik yang terawal mempunyai pasukan membantu mangsa-mangsa bencana iaitu Unit Amal di bawah Dewan Pemuda PAS yang kemudiannya telah berevolusi kepada pelbagai organisasi berkaitan. Persaingan dalam membantu mangsa-mangsa banjir antara parti-parti politik sememangnya memberi kesan positif, dan kebaikan itu kembali kepada rakyat. Politik banjir sebegini membawa keuntungan kepada orang ramai.

Advertisement

Ketika saya mula diamanahkan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, banyak aduan diterima dari orang ramai mengenai kejadian banjir di kawasan mereka. Kebiasaannya bila ada aduan, maka saya akan turun bertemu dengan pihak pengadu di samping meninjau sendiri kawasan yang terbabit. Selepas mendengar aduan tersebut, saya akan sampaikan kepada YB Menteri dan beliau akan mengarahkan agensi-agensi yang terlibat untuk mengambil tindakan. Sekiranya memang sudah ada kelulusan Projek Tebatan Banjir untuk kawasan berkenaan, maka YB Menteri akan minta dipercepatkan pelaksanaannya.

Bila mana saya mendengar aduan mangsa-mangsa banjir, simpati yang teramat sangat kerana mereka kehilangan harta benda yang tidak sedikit nilainya. Ada beberapa aduan yang diterima, banjir berlaku di kawasan mereka sangat kerap. Mereka menjadi mangsa pembangunan pesat sekitaran kawasan penempatan mereka. Sebelum ada pembangunan, penempatan mereka tidak dilanda banjir atau tidaklah sekerap itu dilanda banjir. Situasi seperti ini, menyebabkan mereka merasa trauma dan tertekan setiap kali hujan lebat berterusan turun. Bencana banjir bukan sahaja boleh merosakkan harta benda, bahkan boleh meragut nyawa.

Saya pernah menerima satu aduan dari ADUN dan komuniti sebuah tempat di negeri sebelah Selatan Semenanjung. Kemudian saya telah membuat semakan dengan agensi berkaitan, Projek Tebatan Banjir di kawasan terbabit sudahpun diluluskan dalam RMK11. Pada tahun 2017, pemilihan kontraktor projek secara tender terpilih sudahpun mula diproses, bertujuan untuk mempercepatkan projek yang sangat perlu disegerakan untuk rakyat. Bagaimanapun, apabila Kerajaan PH mengambil alih kerajaan tahun 2018, proses tersebut telah dibatalkan. Ketika saya mula berkhidmat dengan KASA pada tahun 2020, perolehan projek tebatan tersebut belumpun bermula.

Saya membuat congakan, setelah tiga tahun berlalu projek masih belum bermula, kejadian banjir di kawasan tersebut pasti menyebabkan kerugian besar kepada penduduk. Boleh jadi kos kerugian yang ditanggung oleh rakyat disebabkan penangguhan beberapa tahun, menyamai kos yang diperuntukkan untuk melaksanakan Projek Tebatan Banjir tersebut. Oleh sebab itu, penangguhan melaksanakan Projek Tebatan Banjir, pada pandangan saya boleh dianggap mendera rakyat, malah boleh menyebabkan orang ramai terdedah kepada bahaya. Ikhtiar perlu diusahakan supaya pelaksanaan projek seumpama ini disegerakan.

Akhir tahun lepas negara khususnya di Negeri Selangor dan Pahang dilanda bencana banjir berskala besar. Kerugian dianggarkan berbilion Ringgit, di samping turut meragut nyawa. Kerajaan pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah meneliti masalah ini dengan mendalam, lalu mengarahkan Projek-projek Tebatan Banjir di seluruh negara dipercepatkan. Sejumlah RM15 bilion telah diperuntukkan untuk menyegerakan projek-projek tersebut. Proses perolehan yang menurut peraturan-peraturan kewangan kerajaan tidak boleh dikompromi, di masa yang sama usaha untuk menyegerakan projek-projek ini tetap menjadi keutamaan.

Sudah hampir satu tahun kejadian banjir tahun lepas berlalu, namun pelaksanaan Projek-projek Tebatan Banjir masih belum bermula. Pegawai-pegawai kerajaan di agensi terbabit telah berusaha mempercepatkan dengan menggunakan segala peraturan-peraturan kewangan berkaitan dengan perolehan kerajaan. Tiba-tiba Perdana Menteri baru, mengarahkan proses perolehan untuk Projek-projek Tebatan Banjir yang cuba disegerakan oleh kerajaan terdahulu diberhentikan. Alasan yang diberi adalah untuk memastikan tiada penyelewengan dan ketirisan dalam perolehan projek-projek tersebut.

Berdasarkan perkembangan tersebut, saya yakin Projek-projek Tebatan Banjir yang sudah dirancang untuk disegerakan di seluruh negara akan terencat. Terdengar juga khabar-khabar angin akan berlaku rombakan pegawai-pegawai tinggi di Kementerian Kewangan termasuk melibatkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Jika inilah perkembangannya, kerugian yang bakal ditanggung rakyat disebabkan bencana banjir akan berlipat kali ganda. Politik banjir seperti ini sebenarnya tidak menguntungkan rakyat, sebaliknya kemaslahatan rakyat dikorbankan demi untuk mencipta persepsi politik terhadap kerajaan terdahulu. Cukup-cukuplah berpolitik berkaitan bencana banjir.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI – HARAKAHDAILY 8/12/2022