Ejen parti meninggal dunia di tempat bertugas

- Advertisement -

PASIR MAS: Seorang petugas ejen parti yang rebah di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, jam 7.30 pagi ketika mahu menjalankan tugas.

- Advertisement -

Mohd Jailani, 53, dipercayai rebah sebelum tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk pemeriksaan lanjut.

Isterinya, Che Siti Abdullah, 47, berkata kejadian itu diketahuinya setelah sahabat suaminya mengunjunginya di rumahnya di Kampung Pondok Lati di sini dan memaklumkan mengenai kejadian itu.

Pada mulanya, katanya dia menyangka suaminya hanya pengsan biasa, namun terkejut sebaik menerima berita telah meninggal dunia.

“Sebelum arwah pergi bertugas, saya sempat membuat sarapan dan makan bersama di rumah.

“Saya tidak sangka perkara itu memandangkan suami tidak menunjukkan sebarang tanda. Cuma dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, arwah memberitahu berasa lelah dan tiada tenaga untuk bekerja.

“Arwah berhasrat untuk ke hospital bagi melakukan pemeriksaan lanjut selepas PRU selesai,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas di sini, hari ini.

Menurutnya, arwah juga sebelum ini memaklumkan bahawa dia akan bertugas sebagai ejen parti di pusat mengundi pada hari pengundian hari ini.

“Saya amat sedih dengan apa yang berlaku, namun saya reda dengan pemergian suami dan perlu terus tabah untuk membesarkan anak-anak,” katanya.

Arwah meninggalkan seorang balu dan dua anak, masing-masing berusia 26 dan 20 tahun. – HARAKAHDAILY 19/11/2022

- Advertisement -