Syahir bertuah gerak kerja kempen dibantu Nik Abduh

- Advertisement -

KOTA BHARU: Gerak kerja kempen calon PERIKATAN NASIONAL Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman lebih lancar dengan kehadiran bekas ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abduh Aziz.

- Advertisement -

Anak arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat turut berganding bahu membantu kempen mempertahankan Parlimen terbabit.

Syahir berkata, beliau bersyukur dengan komitmen yang diberi Nik Abduh turut berkempen bagi memastikan kemenangan PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,19 November ini.

“Tidak mudah untuk mempertahankan kerusi yang diduduki legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz yang mempunyai aura dan begitu disegani masyarakat.

“Namun, saya bersyukur kerana Nik Abduh memberi tunjuk ajar bermula hari penamaan calon dan bersama dalam aktivti kempen,” katanya pada sidang media di Pusat Media PRU15 PAS Kelantan di sini, hari ini.

Pada PRU15 Syahir ditentang empat lagi calon iaitu Mohd Zain Yasim (BN), Kamarul Azam Osman (Putra), Nor Azmiza Mamat (PH) dan Zulkifli Abdullah (Bebas).

Syahir juga berkata, lima perkara menjadi keutamaan yang akan diberi perhatian sekiranya mendapat mandat rakyat pada 19 November ini.

“Saya sebagai anak jati Kelantan melihat Bachok mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dinaiktaraf ekonomi sosial dan tempat-tempat menarik yang boleh dijadikan kawasan pelancongan popular.

“Masyarakat Siam juga akan dimasukkan dalam agenda utama. Saya akan mendekati masyarakat Siam walaupun bilangan mereka tidak ramai di Bachok,” ujarnya.

Beliau juga akan menggunakan pengalaman tujuh tahun terbabit dalam politik untuk menangani generasi pengundi veteran di kawasan itu.

Syahir sebelum ini berkhidmat sebagai Setiusaha Politik Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ketua Felo Penyelidik (Ekonomi) Institusi Strategi dan Integriti Terengganu (2018-2021), Penolong Naib Presiden Sime Darby Property (2013-2018), Sime Darby Berhad (2008-2013) dan Akauntan Pengurusan Shell Malaysia (2006-2007). – HARAKAHDAILY 9/11/2022

- Advertisement -